SHAH ALAM - Ciapan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di Twitter hari ini yang menganggap Ketuanan Melayu sebagai fahaman sesat serta sealiran dengan Zionisme, Nazi Hitler dan White Supremacist Trump mengelirukan pengguna.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menimbulkan persoalan sama ada Ketuanan Melayu itu patut dihapuskan.
"Apa yang terbuku di dalam diri Khalid terhadap Ketuanan Melayu sebenarnya? Apakah Khalid merasakan Ketuanan Melayu perlu dihapuskan kerana dianggap sesat sebagaimana aliran sesat lain?
"Sejak bila Ketuanan Melayu itu sama seperti Zionisme, Nazi Hitler dan White Supremacist Trump? Sejak bila orang Melayu memahami Ketuanan Melayu sebegitu rupa? soalnya menerusi Facebooknya hari ini.
Katanya, orang Melayu membuktikan sikap toleransi dengan Ketuanan Melayu termasuk hasil kekayaan dinikmati bersama kaum lain.
"Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba Khalid membuat kenyataan sebegini. Biasanya apabila duduk saja-saja sambil bosan-bosan semasa cuti, dan membuat luahan sebegini datang dari suatu perasaan dan emosi yang menebal dan terpendam lama.
"Saya tak faham, apa faedahnya Khalid mengeluarkan kenyataan liar sebegini. Jangan kerana 'mileage' politik, kamu sanggup memburuk-burukkan bangsa sendiri," tulisnya.
Ciapan Khalid enam jam lalu mendapat 559 tanda suka dan diulang ciap sebanyak 157 kali selain dibalas oleh netizen yang turut memberikan pendapat mereka.
Antaranya, Muri2442 yang menganggap kenyataan dikeluarkan Khalid seperti cuba mempengaruhi pemikiran masyarakat menentang Ketuanan Melayu.
"Kalau tak ada Ketuanan Melayu kau rasa bangsa bukan bumiputera boleh bertapak di sini tak? Jangan jadi batu api," tulisnya.
Windwisper89 pula berpandangan, sikap toleransi menyebabkan sesuatu bangsa menjadi lemah dan hanya kuasa dapat menjamin nasib bangsa tersebut.
"Demi bangsa kami akan buat apa sahaja, lebih baik jadi bangsa yang menjajah daripada menjadi bangsa yang dijajah. Lebih baik jadi tuan kepada bangsa daripada jadi bangsa yang dihambakan," tulisnya.