KUALA NERUS - Kaedah mengumpul duit kutu untuk menunaikan ibadah korban sempena Aidiladha menjadi kelaziman bagi penduduk di Kampung Darat Batu Rakit Hilir di sini untuk memberi kemudahan kepada golongan yang tidak berkemampuan.
Katijah Yahya, 42, berkata, sebanyak lima ekor lembu dikorbankan oleh komuniti kampung itu hasil pungutan bulanan daripada 35 peserta dengan kadar minimum RM50 sebulan bergantung kemampuan mereka.
Katijah juga merupakan individu yang bertanggungjawab mengumpul duit bagi peserta yang ingin melaksanakan ibadah berkenaan sejak 10 tahun lalu.
"Hasil pungutan selama 10 bulan daripada 35 peserta kita memperoleh sebanyak RM17,220 dan wang itu digunakan untuk membeli lembu bagi tujuan korban.
"Tahun ini kita berjaya mendapatkan lima ekor lembu dang setiap peserta mendapat satu bahagian dengan kadar harga RM680 satu bahagian untuk dua ekor lembu bersaiz besar dan RM550 satu bahagian untuk tiga ekor lembu saiz sederhana.
"Kita laksanakan ibadah korban ini secara berjemaah bersama komuniti sekitar kampung ini. Ada juga yang bekerja di luar Terengganu yang turut menyertai grup kutu korban ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Katijah, jumlah peserta dan haiwan korban tahun ini terpaksa dihadkan kerana ibadah korban dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Sambutan tahun agak berbeza namun kita tetap menjalankan kutu korban walaupun dalam jumlah yang terhad. Sebelum ini, jumlah peserta mencecah ratusan orang kerana haiwan korban pun ada antaranya sehingga 18 ekor setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha.
"Apabila haiwan banyak, suasana di lokasi penyembelihan ini juga meriah dengan kunjungan orang ramai terutama peserta yang datang bersama keluarga. Kita juga membuat jamuan untuk meraikan mereka yang datang,” katanya.
Katijah yang menyertai ibadah korban itu setiap tahun mengakui puas hati dan gembira kerana dapat menunaikan hasrat individu lain yang tidak berkemampuan namun pada masa yang sama berhasrat menunaikan ibadah korban serta akikah.
"Saya bersyukur kerana ada antara peserta kumpulan ini yang dapat menunaikan ibadah akikah walaupun anak-anaknya sudah mencecah usia remaja.
"Tak terbayang rasa gembira kerana dengan mengumpul duit sedikit demi sedikit, ada kalanya RM30 sebulan dan akhirnya mampu juga melaksanakan kewajipan buat anak-anaknya (akikah) sebelum menunaikan kewajipan buat diri sendiri iaitu ibadah korban,” katanya.