KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) percaya tempoh tiga tahun daripada sekarang akan menjadi tempoh terbaik untuk melihat lebih banyak kejayaan dapat dilakar skuad hoki negara.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, KHM komited membawa sukan hoki ke peringkat seterusnya menerusi perancangan berstruktur diatur konfederasi itu.
"Banyak perancangan sedang dan telah diatur KHM dalam usaha memastikan sukan hoki negara dapat lebih maju pada masa depan. Percayalah dalam tempoh tiga tahun lagi, kita akan lihat banyak kejayaan skuad negara dan kita akan memastikan skuad hoki lelaki negara berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik dalam masa terdekat.
"Sudah tentu kita menekankan kepada pembangunan pemain remaja dan saya lihat ramai pemain kita sangat berkualiti dan kita menyediakan platform untuk mereka menunjukkan bakat dan menyinar,” katanya dalam satu sesi webinar anjuran Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru.
Dalam pada itu, Subahan turut menempelak sikap sesetengah pihak yang sentiasa melemparkan kritikan negatif yang tidak membantu kepada pembangunan hoki negara ini.
Menurutnya, beliau mengalu-alukan sekiranya ada individu atau pihak yang mahu memberikan pendapat bernas dalam menambah baik skuad negara tetapi bukan kritikan yang tidak memberikan manfaat.
"Saya tidak faham mengapa ada yang kata kami tidak melakukan perkara betul untuk meningkatkan sukan hoki negara. Bukti paling jelas, kami membawa skuad negara berada di kedudukan ke-11 dunia dan hanya ketinggalan 100 mata daripada Kanada di kedudukan ke-10 dunia. Di Asia, kami berada di kedudukan kedua.
"Sebab itu, banyak penaja yang masih kekal bersama kami kerana mereka percaya dengan sedikit usaha lagi, kita akan berada di kedudukan ke-10 dunia. Pada 2018 juga kita layak ke final Piala Asia dan ia adalah kali kedua kita layak selepas pertama kali pada 2010 di Guangzhou, China.
"Dalam soal gaji pemain dan jurulatih pula banyak perubahan berbanding sebelum ini. Pemain dibayar tiga kali ganda daripada jumlah yang mereka terima beberapa tahun dahulu. Gaji jurulatih juga meningkat daripada RM5,000 sebulan kepada sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan. Jadi, anda kata kami masih tidak membuat perkara yang betul?
"Jadi, saya sangat teruja untuk menanti tiga tahun lagi yang mana selepas tempoh tersebut saya janji ia akan membawa lebih banyak kejayaan kepada skuad negara,” katanya.