‘Kami sudah berikan segalanya’

Iklan
Aidil Sharin ketika mengendalikan latihan skuad Lang Merah sebagai persiapan menjelang sepak mula baki saingan Liga-M yang dijadualkan pada 26 Ogos ini. - Foto FA Kedah

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengharapkan ada sinar terutama mengenai tunggakan gaji dihadapi Lang Merah dalam Mesyuarat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang dijadualkan hari ini.

Menurutnya, pemain dan pegawai Lang Merah sudah membuat yang terbaik termasuk mengikuti latihan seperti diarahkan walaupun gaji mereka tertunggak sejak beberapa bulan lalu.

Iklan
Iklan

"Harapan saya dan pasukan mudah sahaja. Kami sudah lakukan yang terbaik sebagai seorang profesional seperti mengikuti latihan dan sebagainya.

"Jadi, sudah tentu kami jurulatih dan pemain mengharapkan agar ada berita baik dan masalah gaji kami boleh diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Terdahulu, isu gaji melanda skuad Kedah dengan tunggakan sehingga lima bulan yang mengundang masalah kewangan kepada pemain dan pegawai pasukan itu.

Malah, pengurusan baharu KFA diterajui Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut mendedahkan persatuan itu menanggung hutang yang bukan hanya melibatkan tunggakan gaji pemain tetapi tunggakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyedia tiket pengangkutan pasukan dengan nilai RM10.6 juta.

Iklan

Dalam masa sama, Muhammad Sanusi turut mengakui tidak mahu menggunakan dana kerajaan negeri sebaliknya mencari penaja yang sudi untuk membantu menyelesaikan hutang tersebut.

Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga syarikat gergasi bersedia untuk membantu Lang Merah menerusi beberapa rundingan yang diadakan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aidil Sharin memberitahu dia dan pemain tidak dihubungi pengurusan KFA untuk perkembangan terkini isu berkenaan.

"Setakat ini tak ada (dihubungi oleh KFA untuk memberitahu mengenai pembayaran gaji). Apa yang mereka bagi tahu tunggu mesyuarat 3 Ogos (hari ini) dan mereka akan cuba selesaikan,” katanya.