LANGKAWI - Dua bot nelayan tempatan kelas C ditahan bot peronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis atas kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen, menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika kerana mampu merosakkan ekosistem laut di antara jam 7:25 hingga 7:50 malam semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan ketika sedang leka menangkap ikan menggunakan pukat tunda pada jarak lebih kurang 8.8 dan 8.9 batu nautika dari barat Tanjung Belua selain tidak memiliki alat pengesan vesel (MTU/ VTU), dekat sini.
Menurutnya, tindakan tersebut mampu menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan kerana bot tunda mengaut anak-anak ikan di pesisir pantai sekaligus ikan besar akan pupus atau lari ke kawasan lain kerana punca makanannya iaitu anak-anak ikan sudah berkurangan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot yang berasal dari Kuala Kedah dengan nombor pendaftaran KHF 2583 dan KHF 2632 mempunyai seorang tekong dan empat awak-awak warganegara Thailand berusia lingkungan 21 hingga 61 tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
"Kedua-dua bot tersebut bersama lebih kurang 1.3 tan hasil tangkapan ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan dan tindakan lanjut”, katanya dalam satu sidang media.
Menurut Rozali, berdasarkan statistik aduan pada tahun 2018, kes tarik tepi oleh bot pukat tunda nelayan tempatan yang merompak hasil nelayan pantai dicatatkan sebanyak 17 aduan di Kedah dan Perlis sahaja.
"Pihak kami juga sering mendapat rungutan dan rintihan dari komuniti nelayan persisir pantai mengenai bot pukat tunda yang sering memasuki persisir pantai di dalam kawasan tangkapan nelayan pantai,"katanya.
Tambahnya, pihaknya memandang serius berkenaan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutamanya kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Menurutnya, penggunaan pukat tunda di kawasan persisir bukan saja memerangkap dan membunuh anak ikan bersaiz kecil tetapi juga memusnahkan ekosistem laut dan batu karang serta tukun tiruan yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut terutama di kawasan taman-taman laut.
"Akibatnya, hasil tangkapan nelayan persisir pantai terjejas dan pembiakan dan tumbesaran ikan terganggu secara semulajadi,"katanya.
Tambahnya, komuniti maritim perlu sentiasa bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai agar dapat dibanteras secara bersama.
"Laporkan sebarang aduan jenayah dan kecemasan di laut di talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750," katanya lagi.