IPOH - Seorang pendaki hilang dikhuatiri sesat ketika menyertai aktiviti mendaki di Gunung Korbu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis menerima laporan kehilangan mangsa, Tee Kong Tiong, 68, pada jam 10.42 malam.
Iklan
Iklan
"Anak mangsa memaklumkan ayahnya membuat pendakian ke Gunung Korbu di Hulu Kinta bersama rakannya pada Jumaat lalu.
"Semalam, kira-kira jam 4 petang, pengadu menerima panggilan daripada rakan ayahnya itu yang memaklumkan mereka terpisah ketika turun ke kaki gunung,” katanya.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat digerakkan melibatkan pelbagai agensi antaranya bomba, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perhutanan negeri.
"Berdasarkan temubual, mangsa dipercayai hilang dari rakannya kira-kira jam 4.45 pagi semalam ketika dalam perjalanan pulang antara puncak Gayong ke Puncak Korbu. Ini adalah pendakian ke lima mangsa.
"Operasi mencari turut melibatkan unit anjing pengesan (K9) dan unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Operasi dilakukan mengikut trek asal dengan melakukan pencarian sekitar laluan,” katanya.