KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pemain bola sepak negara, V Krishnasamy yang meninggal dunia semalam.
Dalam kenyataan di laman Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian legenda bola sepak kebangsaan itu yang pernah menyinari persada sukan tersebut pada era 70-an, serta berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu.
Iklan
Iklan
"Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat dan bakti mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara. Jasa dan pengorbanan mendiang akan terus dikenang,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut hantaran itu, mendiang mewakili Malaysia sebagai pemain tengah dari 1970 hingga 1976 dan merupakan anggota skuad Olimpik 1972 di Munich.
Krishnasamy yang pernah mewakili Pulau Pinang dan Perak serta Jabatan Penjara Malaysia, pernah digelar ‘Iron Man’ susulan kepantasannya kembali beraksi selepas setiap kali mengalami kecederaan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pemain bola sepak Olimpik, Krishnasamy meninggal dunia
Artikel Berkaitan