KUALA LUMPUR - Premis hiburan diberi amaran keras agar tidak menjalankan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa kini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pemantauan sentiasa dilakukan polis bagi memastikan pemilik premis mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Mana-mana pusat hiburan yang ingkar peraturan PKPP yang masih melarang pembukaan premis akan dikenakan tindakan tegas.
"Kita khuatir masih ada lagi premis yang curi-curi beroperasi. Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka termasuk menutup premis perniagaan atau sebagainya," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
Mazlan turut meminta semua pihak agar tidak mengambil kesempatan apabila angka kes Covid-19 di Malaysia menunjukkan jumlah yang rendah berbanding negara lain..
Pada 25 Julai lalu, seramai 310 pengunjung pusat hiburan di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara di Petaling Jaya dikompaun RM1,000 atas kesalahan berkumpul ketika pelaksanaan PKPP.
Selain itu, polis mengesan terdapat premis hiburan beroperasi tanpa lesen dengan menggaji pekerja asing tanpa permit sah.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, pihaknya menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan orang awam memakai pelitup muka serta mematuhi SOP PKPP.
"Mana-mana pihak yang melanggar SOP tetap akan diambil tindakan tegas seperti yang ditetapkan kerajaan," katanya.