SIC elak kluster MotoGP

Iklan
Azhan Shafriman Hanif

TIDAK mahu wujud kluster MotoGP tatkala kes Covid-19 mula kembali menunjukkan peningkatan menjadi faktor utama pembatalan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dijadualkan pada 30 Oktober hingga 1 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya tidak mahu mengambil risiko untuk tetap menganjurkan perlumbaan MotoGP berikutan kes Covid-19 masih belum reda dan kembali kepada dua angka ketika ini.

Iklan
Iklan

"SIC sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semua terutama penonton dan pasukan MotoGP. Keadaan semasa kes di Malaysia ini terus meningkat sekarang dan apabila melihat perkara tersebut, kami tidak mahu ambil risiko.

"Kerisauan kami sudah tentu tidak mahu wujud kluster MotoGP yang akhirnya memberikan imej buruk kepada perlumbaan tersebut. Daripada kita nak anjurkan sukan permotoran seperti MotoGP, nanti lain pula jadinya. Lagipun, kita sedang menentang musuh yang kita tak nampak (Covid-19).

Iklan

"Walaupun kita boleh letakkan SOP yang ketat, tetapi kita tak tahu apa yang akan berlaku contoh yang datang mungkin daripada kes luar negara dan ia akan memberikan kesan kepada perlumbaan ini," katanya dalam sidang video bersama media semalam.

Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini memaklumkan pembatalan GP Malaysia selain perlumbaan GP Argentina dan Thailand.

Iklan

Dalam pada itu, Azhan Shafriman turut memaklumkan tiada sebarang kos yang perlu ditanggung SIC akibat pembatalan tersebut bagaimanapun mengakui pembatalan MotoGP sesuatu yang merugikan pihaknya.

"Memang tidak dinafikan perlumbaan MotoGP memberikan pendapatan kepada SIC. Dengan ketiadaan MotoGP tahun ini, kita menumpukan kepada acara track day yang turut memberikan hasil kepada kita.

"Kita juga sudah mendapat banyak tempahan sehingga hujung tahun ini dan kita juga sedang mengatur beberapa perancangan untuk memeriahkan SIC walaupun tiada perlumbaan MotoGP tahun ini. Dengan banyak acara tempatan diadakan, kita yakin kerugian itu dapat diatasi," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, para penonton yang sudah membeli tiket MotoGP tahun ini boleh menghubungi pihak pengurusan SIC untuk menuntut kembali bayaran tiket tersebut.

"Kami akan memberitahu lebih lanjut sekiranya ada cadangan untuk menggunakan semula pembelian tiket itu pada masa akan datang (GP musim 2021)," ujarnya.