Jangan menang sorak, kampung tergadai

Iklan

PADA 20 Januari 1874, termeterai satu perjanjian ditandatangani antara Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke bagi pihak British dan Raja Muda Abdullah yang berkuasa di Hilir Perak bersama-sama dengan pembesar-pembesar menyokong baginda iaitu Bendahara, Temenggung, Orang Kaya Menteri, Syahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato’ Sagor.

Perjanjian dinamakan Perjanjian Pangkor itu memberi kebenaran kepada British mencampuri urusan negeri Perak, susulan berlaku perebutan takhta kerajaan Perak antara Raja Abdullah dan Raja Bendahara Raja Ismail yang kemudiannya memegang gelaran Sultan Ismail.

Iklan
Iklan

Perjanjian ditandatangani di atas kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding, kawasan perairan antara Lumut dan Pulau Pangkor itu sememangnya dianggap satu kesilapan besar dilakukan Raja Abdullah.

Masakan tidak, perjanjian itu sebenarnya membuka kepada campur tangan British secara rasmi dalam urusan negeri Melayu.

Iklan

Tidak cukup dengan Perjanjian Pangkor, sejarah Tanah Melayu turut menyaksikan beberapa negeri dan tanah jajahan kerajaan Melayu lain turut tumbang dan dikuasai penjajah kesan perebutan kuasa serta takhta antara pembesar Melayu sendiri.

Sebagai contoh, kejayaan British mengambil alih Singapura dari tangan Kesultanan Johor pada tahun 1819 juga disebabkan isu perebutan takhta antara Temenggung Abdul Rahman dan abang sulungnya, Tengku Hussein.

Iklan

Selain itu, campur tangan British di Kedah yang membawa kepada penyerahan Pulau Pinang oleh kerajaan Kedah pada akhir abad ke-18 juga berpunca daripada keadaan politik tidak stabil akibat perebutan takhta antara pembesar.

Berdasarkan beberapa catatan penting sejarah peradaban negara yang dinyatakan, penulis yakin majoriti rakyat bersetuju Malaysia yang turut dianggotai Sabah dan Sarawak tidak memerlukan sebarang bentuk perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin politik.

Sejarah membuktikan sebarang usaha perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin negara pastinya mengundang implikasi sangat negatif termasuk mendedahkan negara kepada ancaman luar.

Perebutan

Di sebalik pergolakan politik yang berlaku di Malaysia sejak beberapa bulan lalu, bermula keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu dan disusuli pengambilalihan kerajaan Johor, Melaka, Kedah dan Perak oleh parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN), polemik itu seolah-olah masih tidak menemui titik noktah.

Ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) juga dilihat gagal mengendurkan polemik perebutan kuasa antara parti politik di Malaysia termasuk drama terbaharu, kerajaan Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.

Langkah pembubaran DUN Sabah yang mendapat perkenan Yang di-pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin itu jika diteliti perkembangan politik Sabah sejak keruntuhan kerajaan PH pada peringkat Pusat, bukanlah satu tindakan luar jangkaan dikemukakan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Begitu juga keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik diri daripada menyertai PN yang dilihat lebih didominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan keputusan kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Meskipun setiap pihak terlibat memberikan asbab masing-masing bagi menjustifikasikan tindakan politik yang dibuat, hakikat sebenar adalah mereka tidak lagi menganggap agenda memberi perkhidmatan kepada rakyat sebagai satu tanggungjawab mulia yang harus dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan amanah.

Sebaliknya, mereka lebih teruja memikirkan manfaat politik yang bakal diperoleh termasuk peluang meraih jawatan politik dan habuan wang tunai yang dikatakan mencecah puluhan juta ringgit.

Pada suatu ketika, ada satu segmen pakatan politik melaungkan kepentingan mengembalikan kerajaan Melayu-Islam atas alasan menjaga kepentingan masyarakat Melayu dan bumiputera sebagai tuan asal Tanah Melayu.

Pada masa yang sama, ada juga satu segmen pakatan politik memperjuangkan reformasi pentadbiran kerajaan yang menekankan amalan pentadbiran bersih rasuah, berintegriti dan membela hak rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

Bagaimanapun, apa yang terhidang daripada kepercayaan rakyat terhadap kedua-dua segmen pakatan politik itu adalah amat meleset daripada apa yang dijanjikan.

Sampai bila rakyat akan terus dimomokkan dengan sentimen perkauman dan keagamaan yang bersifat cliché? Sampai bila rakyat akan terus dihanyutkan dengan janji-janji mereformasi pentadbiran kerajaan yang tidak kunjung tiba sehingga kini?

Kepada semua politikus-politikus yang sedang merencana strategi untuk mengukuhkan kuasa dan kedudukan politik masing-masing menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sudah-sudahlah membuat keputusan yang tidak berorientasikan kepentingan rakyat.

Jangan sampai menang sorak, rumah tergadai. Masa itu, tidak guna kita menyanyikan kembali lagu Warisan (Anak Kecil Main Api).

*Khairil Anwar Mohd Amin ialah Eksekutif Strategi Kandungan Sinar Harian