PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan undian Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan berlangsung di Aarhus, Denmark mulai 3 hingga 11 Oktober depan sebagai satu cabaran kepada barisan pemain negara dalam meningkatkan kembali prestasi masing-masing.
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, secara keseluruhannya beliau melihat undian saingan Piala Thomas dan Piala Uber kali ini sebagai sesuatu yang positif kepada skuad negara.
"Jadi untuk itu, kami hanya perlu menerapkan pemikiran yang betul dan berani menentang pasukan lawan. Kami harus menaikkan semangat dan mempersiapkan diri dengan baik dan bukannya terlalu bimbang mengenai lawan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Choong Hann, pada edisi kali ini skuad negara menyasarkan separuh akhir bagi kempen Piala Thomas manakala kedudukan lapan teratas untuk saingan Piala Uber.
"Walaupun ini merupakan satu cabaran kepada pemain negara berdasarkan kedudukan ranking, namun ia akan menjadi platform terbaik bagi pemain-pemain untuk membuktikan bahawa mereka adalah unit yang lebih baik.
"Selain itu, kami juga bersedia menentang mana-mana pasukan dunia dalam misi menjadi yang terbaik antara yang terbaik,” katanya.
Pada sesi undian Piala Thomas semalam, skuad lelaki negara diundi bersama Indonesia, Belanda dan England dalam Kumpulan A manakala skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.
Pada edisi 2018, skuad lelaki negara terkandas pada peringkat suku akhir apabila tewas 1-3 kepada Indonesia manakala skuad wanita negara pula mengakhiri cabaran di tangga ketiga Kumpulan D yang diungguli China dan Indonesia.