KUALA TERENGGANU - Kelonggaran diberikan kerajaan susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) merupakan khabar indah buat pengusaha resort di negeri ini.
Kelonggaran itu dianggap satu rahmat selepas hampir tiga bulan tidak dapat beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.
Pengusaha Kapas Coral Beach Resort, Mohd Iza Azami Hashim, 31, berkata, selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri, pihaknya menerima tempahan bilik yang tidak dijangka.
Katanya, selain itu, pelanggan sedia ada yang menangguhkan tempahan mereka sebelum ini masing-masing 'berlumba-lumba' mendapatkan tarikh baharu untuk bercuti di pulau bersama keluarga.
"Alhamdulilah memang suasana di sini (Pulau Kapas) sangat meriah pada hari pertama rentas negeri dibenarkan dengan kunjungan orang ramai yang tidak putus-putus sehinggalah hari ini.
"Walaupun keadaan semakin pulih, tetapi saya tetap berjaga-jaga dan sentiasa memastikan pekerja serta pelancong mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Mohd Iza Azami, meskipun kerajaan masih tidak membenarkan pelancong dari luar negara masuk tetapi dia tetap bersyukur kerana risiko penyakit ini berjaya dikawal.
"Di Pulau Kapas sebelum ini memang menjadi tumpuan pelancong luar negara terutama dari Perancis dan boleh dikatakan hampir 60 peratus pelancong luar negara di sini adalah rakyat negara berkenaan. Jadi keputusan kerajaan untuk tidak benarkan lagi pelancong luar masuk pada tempoh ini adalah keputusan yang tepat kerana kami dan penduduk pulau tidaklah terdedah sangat dengan risiko wabak ini.
"Kita sedia maklum, sekarang masih tempoh pemulihan dan perlulah beringat serta berjaga-jaga kerana wabak ini sebenarnya masih ada cuma agak terkawal jika dibandingkan sebelum ini," katanya.
Katanya lagi, dalam tempoh baharu ini, dia mengambil inisiatif menawarkan harga yang murah dengan memberi potongan sehingga separuh daripada harga asal kepada pelanggan yang menyewa resortnya.
"Diakui memang agak 'sakit' untuk menampung kos, lebih-lebih lagi dah lama tak beroperasi tetapi saya kena ambil insiatif ini untuk menarik orang ramai untuk datang bercuti ke sini.
"Saya yakin dalam tempoh ini, semua pengusaha seperti saya terpaksa 'berkorban' dan mengambil cara sebegini dengan menawarkan harga murah bagi mempromosikan semula resort masing-masing," katanya.
Sementara itu, bagi pengusaha Resort Ombak Kapas, Hawa Abdul Rahman, 59, dia mengakui tempahan bilik resort diterima meningkat mendadak sebaik sahaja diumumkan kebenaran merentas negeri.
"Jadi, saya perlu mengambil peluang ini walaupun terpaksa menggunakan duit lain untuk dijadikan modal sebagai permulaan membuka semula resort yang ditutup selama ini.
"Sumber pendapatan saya daripada perusahaan resort ini memang merundum hampir 90 peratus tetapi saya bernasib baik kerana perusahaan kilang keropok masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.
"Pendapatan daripada perusahaan keropok itulah saya gunakan untuk menanggung kos resort termasuk bayaran elaun atau gaji pekerja, bil utiliti dan sebagainya.
"Dalam masa sama, saya terpaksa usaha mencari pendapatan tambahan dengan mengambil tempahan kek dan menyediakan khidmat penghantaran (COD) kepada pelanggan sepanjang tempoh itu," katanya.
Ibu kepada empat anak yang sudah lima tahun mengusahakan Resort Ombak Kapas itu berkata, pada tempoh permulaan ini, bagi menarik orang ramai pihaknya menawarkan harga murah berbanding sebelum ini.