'Ketiadaan e-sukan dalam Sukan SEA Vietnam, langkah ke belakang'

Iklan
Yew Weng Kean

TINDAKAN Vietnam tidak menyenaraikan sukan elektronik (e-sukan) dalam Sukan SEA ke-31 di Hanoi tahun depan dianggap sebagai langkah ke belakang.

Ia berikutan edisi 2019 di Filipina menjadi temasya pertama di dunia untuk menganjurkan e-sukan sebagai acara berpingat, setahun selepas ia dianjurkan sebagai sukan demonstrasi di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Iklan
Iklan

Pemenang pingat emas e-sukan pertama negara, Dr Yew Weng Kean, yang memasang impian untuk mempertahankan pingat itu, berkata, Asia Tenggara telah menjadi contoh kepada dunia dalam arena e-sukan dengan menjadikan acara sukan itu sebagai salah satu acara dalam temasya sukan.

"Saya rasa Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Vietnam membuat kesilapan besar dengan tidak menyenaraikan e-sukan. Kita tidak perlulah melangkah ke belakang, kita perlu meneruskan trend yang telah kita buat. Lebih-lebih lagi apabila jumlah penonton (termasuk televisyen dan penstriman langsung) mencecah lebih 20 juta di Manila.

Iklan

"Asia Tenggara adalah contoh kejayaan kepada dunia, di mana e-sukan sedang dipertimbangkan untuk dipertandingkan pada Sukan Asia 2022 di China dan Olimpik 2026 di Paris,” katanya ketika ditemui hari ini.

Weng Kean, penolong profesor kejuruteraan elektrikal di Universiti Heriot-Watt Malaysia, berjaya menempah nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pemenang pingat emas pertama Malaysia dalam acara e-sukan Sukan SEA selepas meraih emas dalam acara permainan Hearthstone.

Iklan

Dikenali dengan nama wkyew90 dalam kalangan penggemar e-sukan, Weng Kean berkata, Vietnam mempunyai pilihan untuk menyenaraikan permainan video yang popular dan mempunyai kelebihan kepada tuan rumah, walaupun Heartstone tidak disenaraikan.

"Saya berharap e-sukan akan dipertandingkan di Vietnam tahun depan untuk meneruskan legasi sukan ini,” katanya.

Vietnam dijangka mengumumkan keputusan mengenai rayuan 10 negara bertanding di Sukan SEA untuk menambahkan acara yang dipertandingkan, selepas penganjur hanya menyenaraikan 36 jenis sukan sebelum ini.

E-sukan, hoki dalam dewan, bola jaring, pelayaran, tenpin boling, skuasy, boling padang, kriket, ragbi 7s, papan selaju, floorball, triathlon, taekwondo ITF, lumba bot tradisional, jujitsu, arnis, dan teqball adalah antara 22 jenis sukan yang membuat rayuan. - Bernama