SUNGAI PETANI - Seorang peniaga santan di Tikam Batu di sini membuat laporan polis berhubung tular di media sosial mendakwa dia dan kakaknya dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, peniaga berusia 33 tahun dari Kampung Berapit itu mengusahakan santan di Pasar Awam Tikam Batu, manakala kakaknya bekerja di Pertubuhan Peladang Kawasan di Jitra.
Menurutnya, kakaknya hanya pulang seminggu sekali ke Tikam Batu serta telah membuat ujian saringan Covid-19 semalam, namun keputusan saringan masih belum diperolehi.
"Ketika peniaga itu melayari Facebook miliknya, dia mendapati seorang pemilik akaun telah memuat naik dalam grup Penduduk Tikam Batu mendakwa kedai miliknya yang menjual santan di Pasar Tikam Batu telah terkena jangkitan Covid-19.
"Akibat daripada penyebaran berita palsu tersebut menyebabkan perniagaan pengadu dan peniaga lain terjejas," katanya di sini semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati status Facebook berkenaan telah dipadamkan dan penama telah memuat naik status terbaharu iaitu:"Dapat berita dari rakan tolong abaikan mesej tentang covid 19 di area tikam batu...Berita palsu."
Peniaga itu bagaimanapun membuat laporan di Balai Polis Tikam Batu hari ini.
Shamsudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Dalam masa sama, beliau menasihati orang awam agar tidak mempercayai berita dari sumber yang tidak benar, sebaliknya merujuk kepada pihak berkuasa selain makluman harian yang diumumkan kepada awam.
"Polis juga meminta orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar sehingga boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan masyarakat,"katanya.