KUALA TERENGGANU - Pemain industri pelancongan, khususnya pengusaha hotel, resort dan chalet di Terengganu tidak duduk diam, sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan dan agensi yang berkaitan dalam menerima kunjungan pelancong pasca koronavirus (Covid-19).
Mengakui bimbang dengan jumlah kehadiran pelancong ke pulau sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak Covid-19, mereka sebaliknya bekerja keras dan memikirkan cara bagaimana untuk beroperasi dalam norma baharu.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak berkata, mereka turut bersama-sama merangka prosedur operasi standard (SOP) kedatangan ke pulau, bagi memastikan keselamatan para pengunjung dan pengendali hotel, resort dan chalet.
"Kami mengikuti rapat perkembangan PKP dan boleh menjangkakan sektor pelancongan akan dibuka secara beransur-ansur. Daripada situ, kami bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi kerajaan berkaitan dalam merangka SOP sebelum menerima kedatangan pelancong.
"Jadi, apabila kelonggaran diberikan kerajaan dan pulau juga sudah mula dibuka, kami sudah bersedia sepenuhnya. Alhamdulillah, keperitan dalam tempoh lebih tiga bulan tidak dapat beroperasi akhirnya berbalas dengan jumlah kedatangan pelancong yang meningkat mendadak.
"Hasil maklum balas yang diterima juga mendapati, jumlah pelancong yang datang jauh lebih baik daripada sebelum tempoh PKP. Ini menunjukkan sektor pelancongan sudah mula memulih,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, walaupun ‘kehilangan’ pelancong asing yang sebelum ini antara pengunjung utama di pulau, mereka melihat jumlah kehadiran pengunjung ke pulau tidak jauh berbeza kerana peningkatan jumlah pengunjung tempatan dan domestik.
Situasi itu juga membuatkan pemain industri lebih kreatif dan membuat tarikan baharu, seperti ‘daytrip’ dalam menarik lebih ramai pengunjung ke pulau.
"Trip berkelah dan balik dalam masa sehari kini menjadi tarikan baharu, dan membuka peluang mereka yang berada di darat untuk membuat trip harian yang mana sebelum ini ia kurang dilakukan.
"Ia memberi pilihan kepada pengunjung kerana tidak semua orang yang suka tidur di pulau dan bagi mereka yang memilih untuk menginap di darat, mereka juga ada pilihan untuk ke pulau hanya sehari,” katanya.