Kebebasan bersuara: Apa kata orang muda?

Iklan
Kebebasan bersuara yang diberikan bukanlah ‘lesen penuh’ untuk mereka bertindak sewenang-wenangnya. - Foto hiasan 123RF

ANAK muda kini dilihat memahami definisi di sebalik kebebasan bersuara yang diamalkan di Malaysia.

Malah, mereka juga maklum kebebasan bersuara yang diberikan bukanlah ‘lesen penuh’ untuk mereka bertindak sewenang-wenangnya tetapi ia masih dilindungi oleh undang-undang.

Iklan
Iklan

Ia bermakna masih terdapat perkara yang perlu dijaga, yang boleh dan tidak boleh dilakukan walaupun mereka bebas menyuarakan pendapat atau idea masing-masing.

Lebih penting, usia muda tidak menghalang mereka untuk menjadi lebih matang dengan menyuarakan pandangan secara bijak menerusi medium yang betul.

Iklan

Pentadbir kejuruteraan, Sazlien Najwa Suprasojo, 26, berkata, kebebasan bersuara tidak boleh digunakan sebagai hak untuk menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan.

"Maksud hak itu sendiri adalah benar dan semua itu perlu dipatuhi, baharulah kebebasan itu bermakna. Jika tidak, ia menjadi kebebasan yang merosakkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sementara itu, selebriti, Ernie Zakri, 28, berpandangan definisi kebebasan bersuara amat subjektif kerana ia bermaksud bebas memperkatakan apa sahaja termasuk perkara-perkara sensitif.

Katanya, jika ambil contoh di luar negara, mereka sangat lantang dan bebas menyuarakan pandangan tetapi di Malaysia, ia masih baharu walaupun ramai dalam kalangan anak muda sudah mula menggunakan medium kebebasan bersuara bagi mengutarakan pendapat.

Ernie

"Namun, kebimbangan saya apabila kebebasan bersuara disalah guna dan boleh membawa ke arah perkara negatif hingga ada yang menyebarkan perkara tidak sahih serta melahirkan pemikiran yang sangat bahaya dalam kalangan anak muda kita," katanya.

Kakitangan swasta, Siti Nur Zawani Miscon, 25, pula berkata, orang beranggapan kritik secara membuta tuli adalah hak bersuara namun hakikatnya anak muda bersuara tanpa berfikir adalah lebih bahaya.

Siti Nur Zawani

"Apa guna laung kebebasan bersuara tetapi masih terpesong dengan berita palsu dan biadab ketika berkarya?” soalnya.

Menurut Pekerja sambilan, Wan Mohd Asyraf Junoh, 30, kebebasan bersuara perlu untuk menyampaikan pendapat mengenai isu-isu berkaitan hal ehwal negara.

Wan Mohd Asyraf

Katanya, kebebasan bersuara bagi golongan muda perlu diambil kira kerana mereka adalah pelapis masyarakat akan datang tetapi perlulah bernas dan disalurkan dengan cara yang tepat.

Bekas Ahli Dewan Belia Perak, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Integrasi Nasional, Beh Zeng Kang, 24, melihat kebebasan bersuara sebagai satu pengiktirafan hak asasi manusia bagi mengemukakan pandangan, pendapat atau buah fikiran dalam negara yang mengamalkan demokratik.

Beh Zeng Kang

"Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap warganegara mempunyai kebebasan bercakap atau bersuara tetapi sebenarnya masih ada batasan tertentu yang perlu dikawal selia dengan munasabah,” katanya.

Juruteknik, Izz Munir Mohamad Izam, 24, pula berpendapat ia merupakan kebebasan untuk seseorang itu melontarkan idea atau pandangan mereka mengenai isu-isu tertentu tanpa menyalahi undang-undang.

"Contohnya, kita boleh buat teguran kepada pelbagai pihak sama ada pemimpin negara, agama atau sesiapa sahaja dengan harapan dapat memperbetul kesilapan atau keadaan yang berlaku. Namun, ia harus disuarakan melalui medium yang betul agar ia benar-benar memberi impak,” katanya.

Dalam pada itu, Mira Jamaludin, 26, berkata, kebebasan bersuara memang diamalkan di Malaysia, cuma kebanyakan pendapat atau suara-suara mereka kurang didengari namun sejak kebelakangan ini, wujud perkembangan positif apabila pendapat disuarakan rakyat khususnya golongan muda mula mendapat maklum balas daripada kerajaan.

Mira

Koordinator pelancongan itu berkata, anak muda juga diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara, patuhi had ditetapkan, elakkan yang berkaitan hate speech dan penghinaan terutama kepada raja dan pemimpin negara.

Kakitangan swasta, Nurul Hidayah Zamri, 28, pula berkata, kebebasan bersuara adalah hak untuk semua rakyat Malaysia memberikan pendapat tetapi perlu mempunyai had.

"Contohnya, pendapat yang disuarakan itu harus menggunakan bahasa atau kata-kata yang sopan agar ia memberi kesan yang positif kepada semua termasuk negara,” katanya.