‘Qurban Perdana dengan Ikhlas’ beri manfaat kepada 1,600 keluarga

Iklan
Mohd Jazri (tengah) bersama sukarelawan ketika membungkus daging korban untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

KUALA LUMPUR - Inisiatif ‘Qurban Perdana dengan Ikhlas’ yang dianjurkan Ikhlas.com iaitu barisan perniagaan baharu di bawah AirAsia.com memberi manfaat kepada 1,600 keluarga di Lembah Klang.

Program yang dilaksanakan kelmarin itu turut disertai usahawan yang juga selebriti tempatan terkenal, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Fizz Fairuz.

Iklan
Iklan

Ketua Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, sebanyak 11 ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada penerima terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rumah anak yatim dan madrasah terpilih di sekitar Lembah Klang.

"Kita harus menerima hakikat bahawa tahun ini kita merayakan Aidiladha dengan cara baharu. Walaupun begitu, niat tetap sama kerana kita perlu menunaikan kewajipan dan melaksanakan korban di mana pun kita berada.

Iklan

"Inisiatif dilakukan mendapat sokongan menggalakkan, kami berharap dapat terus menyediakan perkhidmatan lain yang mudah tanpa gangguan dan selesa bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka melalui Ikhlas.com,” katanya.

Fizz Fairuz (empat dari kanan) turut menyertai program Ikhlas.com dengan kerjasama Mahsuri Food Sdn Bhd di Kuala Lumpur kelmarin.

Menurutnya, inisiatif dalam talian pertama dilaksanakan pihaknya melalui ‘Qurban dengan Ikhlas’ mendapat sokongan menggalakkan walaupun tahun ini sambutan Hari Raya Aidiladha disambut dengan normal baharu.

Iklan

Sementara itu, Ketua Komersil Mahsuri Food Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, beliau berharap sumbangan dan kerjasama bersama Ikhlas.com dapat membantu masyarakat yang terjejas terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Mahsuri Food Sdn Bhd sebagai syarikat pengeluar kicap dan sos masakan buatan Malaysia juga berterima kasih kerana diberi rezeki dan peluang untuk bekerjasama dan turut serta dengan Ikhlas.com untuk membantu asnaf pada Hari Raya Aidiladha tahun ini.

"Ini merupakan program kebajikan yang ketiga kami bersama Ikhlas.com sejak PKP bermula. Sekiranya ada rezeki, kami akan terus bekerjasama dengan Ikhlas.com atau mana-mana NGO untuk terus membantu asnaf,” katanya.