Taufan Hagupit badai timur China

Iklan
Taufan itu mendarat di kawasan pesisir bandar Yueqing, daerah di bawah pentadbiran Wenzhou, membawa bersama angin dengan kekuatan 38 meter sesaat.

HANGZHOU - Hagupit, taufan keempat tahun ini, mendarat di wilayah Zhejiang timur China pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua, memetik Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC).

Taufan itu mendarat di kawasan pesisir bandar Yueqing, daerah di bawah pentadbiran Wenzhou, kira-kira 3.30 pagi, membawa bersama angin dengan kekuatan 38 meter sesaat.

Iklan
Iklan

Ia mencetuskan hujan lebat di wilayah Zhejiang dan Fujian, dengan angin kencang diramalkan di bahagian barat dan selatan Laut China Timur, perairan dekat Pulau Diaoyu, muara Sungai Yangtze, Teluk Hangzhou, serta kawasan pesisir Zhejiang dan timur laut Fujian.

Pada 6 petang Isnin NMC meningkatkan amaran taufan dari kuning ke oren, dan mengemas kini amaran pada 6 pagi Selasa.

Iklan

NMC meramalkan Hagupit akan bergerak ke bahagian utara dan Zhejiang, sebelum beransur-ansur menuju ke kawasan barat Laut Kuning pada Selasa malam.

Taufan itu kemudian diramal membadai utara Jiangsu pada Rabu sebelum bergerak ke pantai barat Semenanjung Korea.

Iklan

Menjelang 10 malam Isnin, Zhejiang telah memindahkan 381,375 orang. Beberapa perkhidmatan kereta api dan kerja-kerja pembinaan di Fujian terpaksa dihentikan. - Bernama