SEPANG - Seorang wanita berdepan detik menakutkan selepas diekori dua lelaki yang dikatakan 'menyerangnya' dengan kata-kata lucah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja, Selasa lalu.
Difahamkan, kedua-dua lelaki berkenaan dalam perjalanan dari Kemboja ke China dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) bersama dengan mangsa.
Dalam kejadian itu, mangsa mula diganggu dua suspek ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja dan terus mengganggunya sebaik tiba di KLIA2.
"Mangsa yang takut dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis KLIA kerana merasakan kehormatannya cuba diaibkan.
"Dalam laporan dibuat wanita tempatan berusia lingkungan 30-an itu mendakwa dua lelaki berkenaan telah mengekorinya.
"Malah suspek dikatakan dengan sengaja berbual perkataan berbaur lucah selain beberapa kali menyentuhnya ketika sedang berbaris di kaunter imigresen di Lapangan Antarabangsa Phnom Penh," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua suspek yang berusia 27 tahun kini direman selama tiga hari sehingga Sabtu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
"Kedua-duanya lelaki warga China itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam, semalam di sekitar KLIA2," katanya.