PRK Slim: Pas pastikan ahli undi calon UMNO

Iklan
Razman Zakaria

IPOH - Pas Perak akan memastikan ahli parti itu keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dan mengundi calon yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, meskipun calon bukan daripada parti itu, persepakatan antara semua kompenan sudah dicapai bagi memastikan kemenangan kepada PN.

Iklan
Iklan

"Mungkin penglibatan tidak secara menyeluruh tetapi kita pastikan pengundi Pas pada pilihan raya umum (PRU) lalu dan yang baru berdaftar keluar mengundi dan memberikan undi kepada calon PN.

"Kita dah pun mulakan gerakan ini termasuk jentera di peringkat bawah menerusi beberapa mesyuarat bersama UMNO," katanya pada pemberita hari ini.

Iklan

Menurutnya, Pas turut menempatkan bilik gerakan operasinya di setiap pusat daerah mengundi bagi memastikan kelancaran proses PRK berkenaan.

"Saya difahamkan MCA dan MIC juga akan menempatkan bilik gerakan mereka untuk menjaga ahli masing-masing, walaupun begitu kita tetap mengarah kepada tujuan yang sama iaitu apabila ke peti undi, kita akan pastikan undi itu untuk calon PN," katanya.

Iklan

Terdahulu Razman yang juga Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil menyempurnakan pelancaran Kursus Asas Tadbir Urus dan e-Sistem NGO di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada Barisan Nasional (BN) meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan pengundian sebenar pada 29 Ogos.

UMNO mengesahkan meletakkan wakil bagi menghadapi PRK DUN Slim, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan antara BN, Muafakat Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).