SELURUH rakyat di Perak diminta bersatu dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis perniagaan masing-masing.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kempen kibarkan Jalur Gemilang lebih mudah dilaksanakan sepertimana rakyat bersama-sama mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Sebenarnya ia sangat mudah dibuat. Kita tidak perlu pun mempunyai bendera atau Jalur Gemilang yang begitu besar. Cukup kita pamerkan di tempat kita berada seperti di rumah atau premis perniagaan. Itu sudah cukup baik,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada program Mengibar Jalur Gemilang anjuran Gabungan NGO Prihatin, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Rukun Tetangga Kinta Heights di Pangsapuri Kinta Heights di sini semalam.
Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, NGO juga diminta memainkan peranan bagi membantu menjayakan kempen tersebut.
"Saya sangat menghargai kerjasama dan usaha daripada NGO bagi memastikan kita dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
"Kita telah mengesyorkan mereka berhubung dengan pihak swasta terutama yang mempunyai premis perniagaan untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Ogos ini,” katanya.
Pada majlis tersebut, sebanyak 350 Jalur Gemilang di-kibarkan di setiap kediaman di Kinta Heights setinggi 20 tingkat itu di Pekan Lama di sini.