Khidmat pakar kenal pasti suspek conteng mural

Iklan
Noor Azam Jamaludin

SEPANG - Polis akan menggunakan khidmat profesional bagi mengenal pasti suspek yang dirakam dalam insiden menconteng mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang rendah di tempat kejadian, menyukarkan pihak polis untuk mengenal pasti suspek.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan, dan ia mengambil masa yang agak lama kerana rakaman CCTV di kawasan itu tidak banyak, selain keadaan persekitaran semasa insiden itu yang gelap.

"Bila kita zoom (rakaman CCTV), gambar tu pecah, jadi kita akan hantar (rakaman) kepada pihak profesional untuk mendapatkan imej yang lebih jelas," katanya kepada media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor, di sini hari ini.

Iklan

Majlis hari ini menyaksikan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor ACP Imran Abdul Rahman kini diberi tanggungjawab menggalas jawatan Ketua Polis KLIA, manakala penyandang ACP Zulkifli Adamshah berpindah mengisi jawatan yang ditinggalkan Imran, berkuat kuasa hari ini.

Pada 20 Julai lepas, satu rakaman CCTV yang memaparkan kelibat dua wanita dipercayai dalang merosakkan mural berkenaan, menjadi tular di media sosial.

Iklan

Susulan perbuatan vandalisme itu, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam mengambil tindakan memadamkan semua mural dengan mengecat semula dinding itu.

Dalam perkembangan lain, Noor Azam berkata semalam polis Selangor mengeluarkan 29 kompaun berkaitan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 18 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal serta melakukan aktiviti terlarang, manakala 11 kompaun atas kesalahan tidak menggunakan pelitup muka di tempat tumpuan awam,” katanya.

"Antara aktiviti terlarang yang dikesan adalah seperti aktiviti di pusat hiburan, selain restoran yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya. - Bernama