Kerajaan perjelas faktor tangguh bentang RMK12

Iklan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika menjawab soalan dalam Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR - Peralihan kuasa kerajaan dan pandemik Covid-19 antara beberapa faktor pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dijadualkan pada Ogos ini ditangguhkan kepada awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) baharu ditubuhkan pada Mac lalu dan beberapa dasar serta pendekatan menguruskan ekonomi perlu dikaji semula untuk menangani isi ekonomi semasa.

Iklan
Iklan

"Andaian yang dibuat sebelum pandemik Covid-19 mengenai beberapa petunjuk penting ekonomi perlu dilihat semula termasuk kadar pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia, pertumbuhan ekonomi Malaysia, harga minyak mentah serta pengangguran.

"Kesan pandemik Covid-19 kepada ekonomi negara perlu diambil kira dalam menggubal dasar jangka pendek dan jangka panjang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Iklan

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta sebab pembentangan RMK12 ditangguhkan dan sejauh mana permasalahan fiskal menjadi punca penangguhan tersebut.

Mustapa berkata, landskap ekonomi Malaysia dan global telah berubah akibat Covid-19 umpamanya peranan ekonomi digital semakin penting, industri pelancongan dan PKS akan mengambil masa pemulihan serta sekuriti makanan juga perlu diberi lebih perhatian.

Iklan

"Kedudukan fiskal negara tahun ini adalah mencabar, kadar defisit 3.2 peratus yang dijangkakan sebelum ini dijangka meningkat kepada 5.8 hingga enam peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, walaupun pembentangan RMK12 ditunda ke awal tahun depan namun ia masih berteraskan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang merupakan kesinambungan beberapa dasar terdahulu dan bersifat lebih inklusif.