Annuar bidas kempen negatif saat akhir

Iklan
Annuar bercakap pada media ketika sidang media di Restoran Bunda Tanah Rata. Foto Sinar Harian: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

CAMERON HIGHLANDS - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa membidas pihak yang berkempen secara negatif di saat akhir.

Katanya, ini termasuklah pemasangan poster di sekitar Kuala Medang yang menyatakan kononnya hutang kerajaan negeri Pahang mencecah RM3 bilion.

Iklan
Iklan

"Pada saya, ini kempen bersifat negatif dan sengaja dibuat saat akhir supaya boleh menimbulkan kekeliruan rakyat. Sedangkan gambaran sebenar mengenai hutang tidak diberikan.

"Banyak lagi isu lain boleh digunakan untuk kempen tapi jangan bawa unsur mengelirukan rakyat. Seeloknya kita berkempen cara sihat," katanya kepada media hari ini.

Iklan

Selain itu, dakwanya, terdapat juga unsur ugutan terhadap masyarakat Orang Asli untuk hadir ke program anjuran kerajaan.

"Kita dapat laporan ada tok batin dipaksa hadir ke program Perdana Menteri esok semata-mata untuk menerima bakul makanan. Sedangkan ada penerima duduk di kawasan yang jauh dan terpaksa habiskan separuh hari untuk hadir.

Iklan

"Bagi saya, kalau sekadar nak bagi bakul makanan boleh buat hari lain. Walaupun ini program kerajaan, tetapi ia satu penghinaan kepada pengundi dan satu bentuk kempen saat akhir yang tidak sihat," katanya.

Dalam pada itu, Annuar turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan poster yang mengelirukan mengenai tempoh pengundian.

"Poster itu menyatakan waktu mengundi dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang. Sedangkan ada pusat daerah mengundi yang ditutup lebih awal.

"Jadi, poster ini boleh mengelirukan pengundi yang tidak peka mengenai masa mengundi," katanya.