Tiada kebenaran mendaki dianggap menceroboh

Iklan
Laporan Sinar Harian semalam.

IPOH - Aktiviti pendakian di hutan simpan yang dilakukan tanpa kebenaran boleh dikategorikan sebagai menceroboh dan dikenakan tindakan undang-undang.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, mana-mana kumpulan atau individu yang ingin masuk ke kawasan hutan simpan sepatutnya mendapatkan permit daripada jabatan.

Iklan
Iklan

"Sekiranya tiada kebenaran diperolehi, maka individu itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana masuk ke hutan simpan kekal tanpa permit sah.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, terbaharu pihaknya mendapat aduan mengenai aktiviti pendakian di Gunung Korbu, Hulu Kinta membabitkan dua individu berusia 68 dan 42 tahun pada Jumaat lalu tanpa kebenaran bertulis Jabatan Perhutanan Perak.

Katanya, pada dasarnya aktiviti mendaki gunung dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan syarat tidak bermalam dan tidak melebihi lima orang.

Iklan

"Ini prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan tetapi disebabkan mendaki Gunung Korbu mengambil masa dua ke tiga hari dan terpaksa bermalam, maka laluan ini ditutup.

"Jabatan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 ke atas dua pendaki berkenaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendaki warga emas sesat di Gunung Korbu

Sinar Harian semalam melaporkan seorang lelaki warga emas hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Korbu.

Mangsa bagaimanapun ditemui selamat kira-kira jam 2.30 petang hari ini sebelum dihantar ke pos kawalan oleh dua penduduk orang asli.