SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) digesa untuk melakukan siasatan segera ke atas sebuah video yang tular memaparkan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia sedang menyampaikan ucapan yang jelas menghina sembilan Raja-raja Melayu di negara ini.
Pejabat Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam satu kenyataan hari ini membuat gesaan tersebut dan mahu pihak berkuasa mengesan individu yang menghasilkan video itu, sekali gus menghentikan penyebarannya kepada rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan itu, video tersebut ditularkan menerusi media sosial termasuk WhatsApp, Facebook dan Telegram.
"Pendirian kami tegas iaitu mengutuk sekeras-kerasnya penghasilan dan penyebaran video tersebut. Ia jelas pelakunya telah menghasut rakyat Malaysia untuk membenci institusi beraja yang menjadi tunjang pembinaan negara Malaysia dengan memesong fakta sejarah.
"Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu adalah ketua utama negara Malaysia dan negeri-negeri di Malaysia seperti diperuntukkan dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan negeri-negeri. Malah, menghina ketua negara Malaysia adalah menghina negara ini, kedaulatan negara Malaysia dan seluruh warganegaranya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat individu hina Islam di luar negara
Menurut kenyataan itu juga, Malaysia adalah antara negara di dunia yang masih mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan ia merupakan warisan sistem politik yang masih kekal sehingga kini.
Malah, katanya, institusi raja di Malaysia adalah satu institusi tradisional yang sedia ada sebagai teras sistem pemerintah dan pentadbiran sesebuah kerajaan Melayu yang telah muncul berabad-abad lamanya.
"Raja juga adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan politik.
"Maka sesiapa yang berbuat demikian mesti dikutuk sekuat-kuatnya dan kerajaan wajib menyiasat sepenuhnya hal penghinaan ini dan bertindak sekeras-kerasnya. Jika penjenayah ini rakyat Malaysia, maka wajib dilucutkan kerakyatannya," katanya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi lebih 11 minit 37 saat sejak semalam memaparkan perbuatan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia di United Kingdom yang menghina agama Islam termasuk institusi raja dan negara.