KAFA sambut baik niat bapa Wan Kuzri beli 'KFC'

Iklan
Husin Deraman

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyambut baik hasrat seorang pensyarah, Profesor Dr Wan Kamal Napi untuk mengambil alih sepenuhnya pasukan negeri Kelantan yang dibelenggu masalah kewangan.

Wan Kamal adalah bapa kepada dua bintang muda berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Wan Kuzain, 22, dan adiknya, Wan Kuzri, 19, yang kini sedang menjalani kem latihan bersama skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara.

Iklan
Iklan

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pihak persatuan belum dihubungi secara rasmi oleh Wan Kamal mengenai hasratnya itu, namun beliau menyifatkan ia satu langkah yang tepat memandangkan pasukan itu kini dalam proses ke arah penswastaan kelab.

Menurut Husin, pihak yang berminat sama ada syarikat atau individu boleh mengambil alih skuad Kelantan dengan membeli pegangan saham dalam Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd.

Iklan

"KAFA kini dalam proses terakhir untuk membuat ketetapan mengenai nilai sebenar TRW Sdn Bhd. KFC (nama pasukan Kelantan selepas penswastaan kelab) akan bermula tanpa sebarang liabiliti kerana liabiliti akan kekal bersama KAFA dan kesemua hutang lapuk berjumlah RM4.6 juta akan ditanggung KAFA," katanya hari ini.

Terdahulu, Wan Kamal menyatakan keinginan beliau membeli Kelantan FC dengan syarat hutang lapuk pasukan itu mesti diselesaikan terlebih dahulu.

Iklan

Beliau berkata, hasratnya adalah mengubah budaya pengurusan ke arah lebih baik selain memberikan fokus terhadap pembangunan akar umbi.

"Saya ingin membeli pasukan itu (Kelantan) tetapi mereka perlu terlebih dahulu menjelaskan segala hutang. Saya tak berminat untuk jadi jutawan, untuk menjadi seorang jutawan bukanlah matlamat utama saya tetapi saya ingin mengubah budaya pengurusan dan membentuk kanak-kanak ke arah pembangunan bola sepak masa hadapan,” katanya melalui ciapan Twitter terbaharu hari ini.

Mengulas lanjut, Husin berkata, KAFA akan hilang hak secara total terhadap skuad Kelantan sekiranya pegangan saham TRW Sdn Bhd dibeli sepenuhnya.

"KFC akan berdiri sendiri dengan kawalan Ahli Lembaga Pengarah dalam TRW Sdn Bhd," jelasnya.

Isu hutang lapuk dan kepimpinan KAFA menjadi tumpuan besar yang melanda persatuan terbabit, antaranya membabitkan isu tuntutan tunggakan gaji daripada bekas pemain import dan tempatan, selain presiden dan timbalan presiden KAFA direhatkan daripada menguruskan persatuan.

Sebelum ini, Kelantan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi saingan Liga Premier 2020 kerana gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Kelantan menikmati musim gemilang pada tahun 2012 apabila mempertahankan gelaran juara Liga Super kedua kali berturut-turut selain merangkul kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia. - Bernama