MADRID - Bekas pemerintah Sepanyol, Raja Juan Carlos yang berdepan siasatan rasuah semalam mengumumkan baginda memilih untuk hidup dalam buangan.
Istana Diraja dalam satu kenyataan memaklumkan Juan Carlos, 82, menyatakan hasrat untuk meninggalkan negara itu menerusi surat kepada puteranya, Raja Felipe VI yang akur dengan keputusan tersebut dan turut berterima kasih kepada baginda.
"Ia adalah keputusan yang sukar. Tetapi, inilah terbaik untuk rakyat, institusi dan raja. Oleh itu, beta memutuskan untuk mengasingkan diri ke luar negara,” menurut kandungan surat tersebut.
Sebelum ini, Felipe pernah cuba menjauhkan diri daripada bapanya termasuk menarik balik elaun tahunan diraja dan melepaskan segala yang akan diwarisi daripada baginda.
Sementara itu, peguam baginda, Javier Sanchez-Juncho berkata, klien beliau tidak cuba untuk melarikan diri daripada keadilan dan baginda sedia untuk memberi kerjasama dengan pendakwa raya.
Semalam, media tempatan turut membuat spekulasi tentang lokasi yang bakal menjadi tempat tinggal baharu baginda termasuk Republik Dominika selepas istana diraja enggan mengesahkan sama ada Juan Carlos telah meninggalkan negara itu.
"Kami hanya ada maklumat seperti yang diterbitkan menerusi laman Istana Diraja,” ujarnya.
Akhbar harian ABC melaporkan baginda telah terbang ke Santo Domingo melalui Portugal.
Selain itu, akhbar La Vanguardia dan El Mundo menerusi laporan mereka mendakwa baginda mungkin merancang untuk menetap bersama rakannya di negara Caribbean, namun laman berita dalam talian, El Confidencial menyatakan baginda dipercayai memilih untuk tinggal di Portugal yang pernah didiaminya ketika zaman muda. - AFP
Info:
>Pada Jun lalu, Mahkamah Agung memutuskan untuk membuka siasatan ke atas kes rasuah melibatkan Juan Carlos.
>Siasatan dilancarkan di Switzerland dan Sepanyol berhubung dana berjumlah AS$100 juta (RM422 juta) yang diterima daripada bekas pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang dimasukkan ke dalam akaun di Bern secara rahsia pada 2008.
>Pada 1975, Juan Carlos menaiki takhta selepas kematian pemimpin diktator fasis, Francisco Franco dan memerintah selama 38 tahun sebelum menyerahkan takhta kepada puteranya, Felipe VI pada Jun 2014.
>Baginda menjadi tokoh popular selama beberapa dekad dan memainkan peranan penting dalam peralihan demokratik daripada kepimpinan Franco yang memerintah Sepanyol daripada 1939-1975.
-----------