Bersatu diramal masuk UMNO, sama seperti Semangat46

Iklan
Nur Jazlan

SEJAK lebih seminggu lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah antara pemimpin UMNO yang paling lantang membicarakan mengenai kerjasama BN, Pas dan Bersatu.

Perang mulut beliau dengan beberapa pemimpin Bersatu semakin memuncak apabila anak sulung kepada bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat itu menggesa Bersatu kembali kepada UMNO demi survival parti yang menggunakan logo bunga raya tersebut.

Iklan
Iklan

Walaupun diberi pandangan sinis termasuk digelar pemimpin yang kecewa, Nur Jazlan yakin UMNO dan Pas kini di landasan yang terbaik untuk menang pada PRU15. Wartawan Sinar Harian, NOR AZURA MD AMIN menemubual secara eksklusif bekas Ahli Parlimen Pulai itu di Johor Bahru baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Bagaimanakah keadaan politik di Johor selepas ditadbir Perikatan Nasional (PN) sejak Febuari lalu?

Iklan

NUR JAZLAN: Di Johor keadaan politiknya agak unik, di mana pola penduduknya secara purata dilihat Melayu 54 peratus dan Cina lebih 40 peratus. Pengaruh UMNO di Johor masih besar, UMNO masih diterima orang Melayu Johor dan merupakan parti tunggal yang memperjuangkan orang Melayu.

Oleh kerana keadaan politik yang bercelaru pada masa sekarang ditambah dengan komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang agak tipis iaitu cuma beza dua kerusi antara PN dan Pakatan Harapan (PH) pentadbiran kerajaan negeri perlu diuruskan secara kompromi.

Iklan

Keadaannya boleh dikatakan agak tegang tetapi saya melihat pentadbiran kerajaan negeri masih boleh diuruskan dengan baik di bawah Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Dalam hal ini, pengaruh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga memainkan peranan dalam memastikan keamanan di bawah PN masih utuh.

Bagaimanakah pandangan Datuk mengenai sidang DUN Johor yang akan bermula pada September depan?

Kita lihat sidang DUN yang diadakan pada Mei lepas jelas memperlihatkan kelebihan kerusi cuma dua dengan pembangkang iaitu PH. Menariknya situasi ini seakan-akan sama seperti apa yang terjadi di Parlimen sekarang.

Oleh itu bukan mudah untuk sebarang keputusan dibuat tanpa mendapat sokongan majoriti.

Salah satu isu yang paling panas ketika ini ialah mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti di bawah PN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Bagaimanakah Datuk melihat isu ini?

Pada saya dasar pembahagian kerusi tertakluk kepada keputusan PRU14 lalu. Kita hendak kerusi yang UMNO menang tidak kira di bandar mahupun luar bandar tanpa melihat wakil rakyat yang ada sekarang.

Pembahagian kerusi yang menjadi pertelingkahan dalam PN perlu diselesaikan ikut kekuatan yang dimiliki parti di sesebuah kawasan untuk bertanding di Parlimen mahupun DUN.

Kita tidak boleh tengok kekuatan parti itu atas kertas sahaja tetapi perlu dilihat lebih mendalam dengan adanya analisis.

Soal calon juga penting. Calon yang dipilih perlu ada potensi menang. Jangan buat keputusan atas kertas bagi memilih calon kerana jika salah perkiraan letak calon, jawabnya PH akan menang.

Pastinya, UMNO tiada masalah kerana UMNO memiliki ramai calon berpengalaman. Maksud saya dengan berpengalaman itu ialah kita ada calon yang pernah menang dan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU14).

Dengan rakan sekutu Muafakat Nasional (MN) iaitu Pas juga kita tiada masalah, kerana kedua-duanya saling menghormati. UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 iaitu sudah 74 tahun, mungkin seusia dengan Pas.

UMNO dan Pas boleh realisasikan MN kerana ada sikap menghormati.

Kerjasama Pas dan UMNO di bawah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah sampai ke tahap mempunyai piagam maksudnya ada kerjasama yang baik. Jadi ada banyak kerjasama yang kita boleh lakukan berunding dan selesaikan banyak perkara dan masing-masing hormat-menghormati.

Tetapi hal ini berbeza dengan kerjasama UMNO-Bersatu. Bersatu ditubuhkan pada 2017 untuk hadapi PRU14.

Situasinya kini pula, mereka (Bersatu) yang pegang jawatan walaupun di peringkat bawah sokongan terhadap mereka sangat halus. Saya bagi contoh sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Oktober tahun lepas ketika mereka lawan BN. Mereka kalah, itu sahaja sudah membuktikan Bersatu yang kononnya kuat di Johor tetapi hakikatnya ada lompong di bawah.

Jika mereka bertanding bawah PN, sudah pasti mereka bergantung kepada BN dan UMNO untuk jentera PRU bagi mendapatkan sokongan pengundi.

Apakah pandangan Datuk tentang MN di Johor?

MN merupakan kerjasama politik yang ampuh untuk mencorak masa depan negara menjelang PRU15 nanti.

Dengan kekuatan UMNO dan keharmonian hubungan dengan Pas menjadikan MN sebuah perikatan politik paling realistik dalam membentuk kembali sebuah kerajaan yang stabil serta kuat.

Dalam MN, UMNO-Pas ada satu hubungan matang yang saling menghormati kemampuan dan kelebihan masing-masing. Keserasian dan gabungan mantap dua parti utama dalam MN merupakan satu jaminan paling padu untuk mengembalikan demokrasi berpolitik di Malaysia.

Apabila MN bekerjasama untuk berhadapan dengan pihak lawan pada PRU15 nanti, pastinya suatu kekuatan baharu yang wujud dalam landskap politik negara kerana UMNO dan Pas sudah mempunyai rekod cemerlang selama ini. Kekuatan MN ini menjadi teras untuk parti seperti Bersatu sertai dan tak perlu lagi ada PN.

Kita ada ahli yang ramai, ada kekuatan jentera parti yang kuat dan tersusun jika dibandingkan dengan Bersatu yang serba kekurangan. Sebab itulah UMNO memberi tawaran kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk kembali kepada parti itu. Ini kerana hanya dengan menyertai UMNO dan MN, survival politik beliau akan lebih terjamin berbanding bersama PN.

Apakah pandangan Datuk sekiranya Muhyiddin kembali menyertai UMNO?

UMNO sudah melalui saat genting selepas PRU14 lalu, daripada kekalahan sedikit demi sedikit kita bangkit daripada zaman yang suram.

Namun situasi ini berbeza dengan Bersatu. Bersatu menang pada PRU14 dengan pertolongan rakan-rakan parti yang tidak akan bagi undi mereka pada PRU15. Jadi saya tanya di mana masa depan Bersatu. Mungkin mereka akan masuk UMNO sebagaimana Semangat 46 tetapi masuk dengan tidak bersyarat.

Bagaimana Datuk melihat sokongan kepada Menteri Besar Johor ketika ini?

Kita sokong Hasni sebab dia MB yang datang daripada parti terbesar iaitu UMNO. Memang kita mahukan Hasni kekal memimpin Johor dan sepatutnya dia menyambung penggal pentadbiran. Hasni sudah pasti dapat mentadbir negeri Johor lebih baik berbanding calon MB daripada Bersatu.