Ibu popular lawan Presiden Belarus

Iklan
Svetlana Tikhanovskaya berucap pada perhimpunan kempen pilihan raya di Maladzechna, baru-baru ini. - Foto AFP

SEORANG pekerja kilang, Elena berdiri bersama orang ramai dalam jumlah besar pada satu perhimpunan kempen pilihan raya yang diadakan oleh bintang politik Belarus, Svetlana Tikhanovskaya daripada pihak pembangkang di sebuah bandar kecil negara itu.

Kebanyakan mereka membawa bendera merah dan putih iaitu warna bekas negara Kesatuan Soviet itu.

Iklan
Iklan

Seperti kebanyakan perhimpunan untuk calon itu, Elena hanya memberikan nama pertama sahaja kerana bimbang akan mendapat perhatian yang tidak diundang daripada pihak berkuasa.

"Saya mahu kebebasan untuk bersuara. Pergi ke jalanan dan bercakap dengan bebas dan tidak berasa takut lagi," kata pekerja kilang roti yang berusia 42 tahun itu kepada AFP.

Iklan

Beberapa ribu orang memenuhi stadium kecil di Maladzechna, sebuah bandar kecil yang dihuni kira-kira 100,000 penduduk di barat laut ibu kota Minsk untuk mendengar ucapan Tikhanovskaya.

Tikhanovskaya yang merupakan seorang wanita kini mengetuai tentangan terhadap Presiden Alexander Lukashenko.

Iklan

Dalam perhimpunan kempen tersebut yang dipenuhi dengan golongan muda yang dilahirkan selepas Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1991 dan tidak mempunyai ingatan berhubung era Lukashenko telah mengibarkan bendera dan melaungkan slogan 'perubahan' ketika wanita berusia 37 tahun itu berada di atas pentas pada Julai lalu.

"Kini adalah masa bagi setiap orang mengatasi perasaan takut mereka," kata Tikhanovskaya.

"Adakah anda berpendapat bahawa saya tidak takut? Saya takut pada setiap hari. Tetapi, saya mengerahkan keberanian saya, mengatasi perasaan takut dan pergi kepada anda dan mencari kemenangan," ujarnya.

Ibu yang menjadi suri rumah itu melakukan percubaan untuk merebut jawatan presiden selepas suaminya yang juga blogger popular, Sergei Tikhanovsky, 41, ditangkap dan dilarang mencabar Lukashenko pada pilihan raya 9 Ogos ini.

Tikhanovskaya merupakan seorang guru bahasa Inggeris yang terlatih membuat keputusan untuk bertanding pada Mei lalu.

Alexander Lukashenko mahu mengekalkan jawatan presiden Belarus bagi penggal keenam. - Foto AFP

Anak lelaki dan anak perempuannya masing-masing berumur 10 tahun dan lima tahun pula telah dihantar ke luar negara demi keselamatan mereka.

Seorang lagi pencabar jawatan itu ialah bekas ahli perbankan, Viktor Babaryko yang juga dipenjarakan dan mantan diplomat, Valery Tsepkalo telah melarikan diri ke luar negara kerana takut ditangkap.

Lukashenko, kini mahu mengekalkan penggal pemerintahan yang keenam melalui pilihan raya itu.

Perasaan takut Tikhanovskaya memang berasas.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, Viasna, sekurang-kurangnya 1,100 orang sudah ditangkap sejak praperhimpunan pilihan raya pada Mei lalu.

Walaupun terdapat tindakan keras, Tikhanovskaya dibenarkan untuk menggantikan tempat suaminya bagi bertanding menentang Lukashenko yang berusia 65 tahun sekali gus menggembirakan penyokongnya.

Kehadiran Tikhanovskaya telah menarik minat ramai orang datang pada perhimpunan kempen pilihan rayanya di negara tersebut.

Beliau ditemani oleh pengarah kempen Babaryko, Maria Kolesnikova dan Veronika Tsepkalo iaitu isteri kepada Valery.

Wanita berkenaan memakai baju-T yang mempunyai signaturnya iaitu gengaman penumbuk Tikhanovskaya, jejari Kolesnikova dalam bentuk hati dan tanda kemenangan oleh jari-jari Tsepkalo.

"Apa yang penting adalah situasi ini bukan hanya berlaku di ibu kota tetapi juga di bandar-bandar kecil dan kampung-kampung," kata seorang penganalisis Belarus, Alesia Rudnik.

Rudnik menambah, ketiga-tiga wanita berkenaan membawa bersama rakyat negara itu yang pada kebiasaannya tidak menyertai tunjuk perasaan antikerajaan.

Selepas perhimpunan kempen pilihan raya itu di Maladzechna, sekumpulan besar penonton bergegas mahu melihat wanita tersebut di Grodno, sebuah bandar di barat laut Belarus.

Kira-kira 10,000 penduduk Gomel di tenggara Minsk datang untuk mendengar ucapan Tikhanovskaya di bandar kelahiran suaminya.

Kempen pilihan raya Svetlana Tikhanovskaya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai di Minsk pada 30 Julai lalu. - Foto AFP

Perhimpunan terbuka itu berlanjutan lama sehingga ke waktu malam dengan kumpulan muzik membuat persembahan manakala penonton menyalakan lampu pada telefon bimbit mereka.

Kira-kira 63,000 orang datang dalam perhimpunan terbesar di Taman Persahabatan Penduduk Minsk pada 30 JUlai lalu walaupun terdapat kebimbangan berlakunya tindak balas selepas pihak berkuasa menangkap 33 orang Rusia yang merancang rusuhan secara besar-besaran bersama pihak pembangkang.

"Tikhanovskaya merupakan simbol pergerakan, undi protes terhadap Lukashenko. Beliau berjaya menarik (sokongan) setiap orang yang tidak mahukan Lukashenko," kata seorang penganalisis sains politik, Valery Karbalevich.

Para pemerhati berkata, Tikhanovskaya mempunyai perasaan tidak puas hati dengan Lukashenko yang diberi nama julukan 'Sasha 3 peratus' sebagai sindiran berikutan ratingnya yang tidak popular.

Bekas pengarah ladang kolektif itu dibidas berhubung cara beliau mengendalikan ekonomi, hubungan yang merosot dengan Rusia dan pengurusannya menangani pandemik koronavirus.

Malah, para pegawai kesihatan sudah mendaftarkan puluhan ribu orang yang dijangkiti Covid-19 tetapi Lukashenko menganggap pandemik itu sebagai palsu dan enggan memperkenalkan lockdown.

Justeru, penduduk di pekan-pekan dan bandar-bandar di seluruh negara terpaksa mengadakan langkah-langkah antivirus termasuk memakai pelitup muka serta bekerja dari rumah.

Namun, para pengkritik berpendapat cabaran terbesar adalah jika Lukashenko memenangi undi dengan memalsukan keputusan, kata Rudnik. - AFP