Kerajaan utamakan program pelan pemulihan usahawan, koperasi

Iklan
Wan Junaidi

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memberi keutamaan pelaksanaan program dan inisiatif bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mikro dan koperasi yang terjejas akibat Covid-19 meneruskan perniagaan mereka.

Menterinya, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usaha di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi itu penting berikutan impak penularan Covid-19 terhadap usahawan perlu ditangani secara lebih agresif dan khusus dengan menggunakan sumber kewangan serta kepakaran kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada masa ini, kementerian memberi perhatian khusus kepada pembangunan perusahaan PKS, mikro dan koperasi terutamanya bagi menangani isu dan cabaran semasa serta tempoh pasca Covid-19.

"Ini dilakukan bagi mencapai hasrat dan matlamat yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN).

Iklan

"Kita hanya ada tempoh 10 tahun bagi mencapai matlamat DKN tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, ketika menjawab pertanyaan Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli (PH-Lumut) mengenai perkembangan pembangunan industri kereta terbang, Wan Junaidi menjelaskan bahawa istilah kereta terbang itu sebenarnya merujuk 'superdrone' mengikut konteks sebenar dalam industri mobiliti udara.

Iklan

Katanya, industri tersebut amat berpotensi tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa selain boleh dimanfaatkan pelbagai sektor lain.

"Pada masa ini, projek Mobiliti Udara ini diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan," katanya.

Wan Junaidi berkata, kementerian tersebut sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara pembangunan usahawan PKS tempatan dalam industri tersebut yang menumpukan perkhidmatan dron dan 'super drone'. - Bernama