Elit politik khianati mandat rakyat

Iklan
Mohd Yusri ketika menjadi panelis pada program Wacana Siri ke-184 bertajuk ‘Mampukan PRN Rungkai Pergolakan Politik di Sabah? yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf semalam.

SHAH ALAM - Pergolakan politik yang berlaku di Malaysia disebabkan perbuatan khianat elit politik terhadap mandat yang diberikan rakyat.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ketidakstabilan politik tercetus sejak Februari lalu selepas krisis dalaman dalam kalangan kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

"Sebarang ketidakstabilan politik yang berlaku di negara kita bukan dicetuskan oleh rakyat sebaliknya dalam kalangan elit politik yang diberi mandat oleh pengundi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Bermula dari krisis dalaman pemimpin PH yang dilihat tidak mampu diurus dengan baik menyebabkan ada pihak lain mengambil kesempatan dan berlaku pertukaran kerajaan rentetan daripada ‘Langkah Sheraton’.

Iklan

"Bermula detik itu, ketidakstabilan politik yang berlaku di peringkat Persekutuan membawa kepada negeri-negeri lain dan terbaharu di Sabah sehingga berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Siri ke-184 bertajuk ‘Mampukan PRN Rungkai Pergolakan Politik di Sabah? yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Iklan

Katanya, perbuatan wakil rakyat ‘melompat parti’ demi kesinambungan pembangunan merupakan satu kesalahan besar serta tidak wajar sama sekali.

"Kuasa rakyat telah memilih wakil rakyat menggunakan referendum yang sah dalam pilihan raya umum yang diadakan lima tahun sekali. Keputusan mereka berdasarkan pungutan suara.

"Jadi ahli politik mesti mematuhi mandat serta amanah rakyat dan tidak boleh sama sekali membuat justifikasi sendiri dengan beralih arah. Ini satu kesalahan besar kerana menyalahi mandat serta amanah yang diberikan.

"Mereka tidak boleh bertindak sedemikian (lompat parti) dan jika ini (kesimbungan politik) digunakan sebagai alasan, ia seolah-olah meletakkan sesuatu asas sosial yang sangat parah. Sampai bila kestabilan politik boleh dicapai. Jangan hak 15 juta pengundi dinafikan oleh wakil rakyat ini," katanya.

Tambah Mohd Yusri, prinsip serta integriti yang ada pada wakil rakyat menjadi faktor utama bagi menentukan kestabilan politik di Malaysia.

"Kestabilan politik dapat dicapai sekiranya ahli politik di negara kita berprinsip serta mempunyai integriti. Pada masa sama juga, pengundi perlu memilih yang terbaik untuk menjadi wakil mereka,” katanya.

Justeru beliau berkata, sudah tiba masanya pengundi terutama di Sabah perlu memberi isyarat lebih jelas kepada ahli politik supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga mandat rakyat.

"Rakyat mula meluahkan ketidakpuasan hati apabila keputusan-keputusan politik ini ditentukan oleh elit politik. Oleh itu, pengundi Sabah terutamanya perlu menyatakan pendirian mereka sama ada mereka masih boleh menerima wakil rakyat yang bersikap sedemikian. Adakah mereka ini masih lagi mahu diberi amanah atau sebaliknya.

"Ini bukan kejohanan lompat jauh... ini politik yang mana wakil rakyat yang dipilih perlu menjaga amanah rakyat. Perkara-perkara ini perlu diteliti dan diberikan perhatian,” tegasnya.