SHAH ALAM -"Wakil rakyat Sabah bukan kraftangan yang boleh dijual beli," kata Ketua Penerangan parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob.
Beliau berkata demikian susulan tindakan pihak tertentu yang memberi tawaran wang serta jawatan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah termasuk dirinya untuk melompat parti.
Yusof mendakwa, tindakan itu jelas menunjukkan campur tangan daripada kerajaan Persekutuan apabila ada perjumpaan yang diatur dengan kehadiran beberapa pemimpin termasuk Presiden UMNO ke Sabah.
"Ini bukan tuduhan tapi memang terang lagi bersuluh apabila perjumpaan itu strategi untuk mengatur seolah-olah wakil rakyat Sabah ini dianggap kraftangan dan boleh dijual beli seperti beg tangan atau barangan.
"Ini satu kenyataan yang mengecewakan orang Sabah kerana kita ada maruah, kita bukan kraftangan sebab itu sehingga kini masih bertahan bersama Warisan," katanya pada Wacana Siri ke-184: Mampukah Pilihan Raya Negeri (PRN) Rungkai Pergolakan Politik Sabah? yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
Turut menjadi panelis ialah Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain dan Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.
Yusof berkata,hanya mereka yang melompat parti dan sanggup 'dibeli' itu yang sepatutnya dianggap sebagai kraftangan malah perbuatan itu amat dibenci rakyat negeri tersebut.
Selain itu beliau turut mendedahkan telah dihubungi beberapa kali serta ditawarkan ganjaran untuk melompat parti namun enggan menghuraikan lebih lanjut kerana menyifatkannya sebagai tipu muslihat janji politik yang tidak logik.
"Sebab itu saya bertahan dan pertahankan mandat rakyat malah saya setuju segala pergolakan yang timbul bukan disebabkan rakyat tetapi berpunca daripada sikap pemimpin yang inginkan keselesaan, jawatan, kuasa sehingga wujud konspirasi membeli wakil rakyat di negeri ini.
"Lebih dahsyat apabila ada pengaruh luar yang menggunakan agensi kerajaan sedangkan fungsi kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi panduan menjaga supaya negeri-negeri di Malaysia stabil. Tapi ada individu tertentu di kerajaan Persekutuan yang terlibat dalam konspirasi ini," katanya.
Tambahnya, ini terbukti apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) datang ke rumah pemimpin yang menyokong Warisan.
"Jika tawaran tidak diterima, rumah mereka digeledah dan ini perbuatan menyusahkan rakyat," katanya.
Sementara itu ketika mengulas berhubung tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan, Yusof berkata, tindakan itu diambil selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melihat situasi tidak stabil di negeri itu termasuk isu cubaan beli dan wakil rakyat melompat parti.
"Beliau melihat jauh ke depan dan tidak mahu keadaan kacau bilau yang pernah berlaku pada 1985 berulang, maka atas pandangan nasihat daripada ramai pihak kita pulangkan mandat kepada rakyat dan biar mereka pilih siapa yang diinginkan untuk mentadbir Sabah.
"Tambah lagi kita tahu perbuatan melompat parti amat dibenci rakyat Sabah dan kita yakin rakyat akan memberi peluang kepada Warisan pada PRN untuk meneruskan rancangan pembangunan negeri serta rakyat Sabah," katanya.
Selain itu, Yusof turut membidas dakwaan Abdul Aziz yang mengatakan sepanjang tempoh dua tahun pemerintahan Warisan banyak kerosakan dilakukan pemimpin parti itu.
"Tidak ada kerosakan yang dibuat sebaliknya Warisan membaiki kerosakan ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Ia ibarat kami mengambil sebuah banglo yang cantik dan besar tetapi di dalamnya segala perabot, dapur, kipasnya rosak..Jadi dua tahun ini kami sibuk buat 'renovation' untuk susun atur semula negeri Sabah dengan lebih baik," katanya.