Kren cuba elak kenderaan hadapan sebelum terbalik

Iklan
Laporan Sinar Harian hari ini.

SHAH ALAM - Pemandu sebuah kren yang terbalik dalam kejadian di Jalan Cheras pagi tadi dipercayai cuba mengelak merempuh sebuah kenderaan lain di hadapannya sebelum melanggar tembok di bahu kiri jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.10 pagi melibatkan sebuah kren yang datang dari arah Taman Len Seng menuju ke Persiaran Alam Damai.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tersepit dalam kren terbalik

Beliau berkata, kren berkenaan yang melanggar tembok itu kemudiannya terbalik sehingga menyebabkan pemandunya tersepit.

Iklan

"Bagaimanapun, mangsa yang berusia 28 tahun itu berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba selepas 30 minit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa terlibat telah dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut susulan kecederaan yang dialaminya.

Iklan

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang pengendali kren berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam kenderaan berat itu yang terbalik di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) berhampiran Alam Damai, Cheras pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.45 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi.