10,000KM Denai Sungai Nasional menjelang 2030

Iklan
Zaini (dua,kiri) dan Mohd Shukri (kanan) melawat pameran selepas Majlis Menandatangani MoU antara MSU dan JPS di kampus MSU. hari ini. - Foto: MOHD IZARI ROSLI

SHAH ALAM - Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) menyasarkan untuk membina laluan sepanjang 10,000 kilometer menerusi projek Denai Sungai Nasional di seluruh negara menjelang tahun 2030.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, bagaimanapun untuk tempoh tiga tahun terdekat pihaknya berhasrat mencapai sekurang-kurangnya pembinaan 1,000 kilometer denai sungai

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek sudah bermula di Sungai Damansara yang dijalankan dengan kerjasama Management and Science University (MSU).

"Kita percaya projek pembinaan denai sungai ini merupakan langkah terbaik bagi mengatasi masalah pencemaran sisa di sungai melalui kaedah pengawalan pencemaran di punca. Ia juga antara kaedah yang berupaya mengawal pencemaran sungai melalui penglibatan berterusan oleh komuniti setempat.

Iklan

"Penglibatan komuniti setempat, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan badan korporat juga secara tidak langsung dapat memupuk dan meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan sungai dan alam sekitar," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MSU dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kampus MSU di sini hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pengarah JPS, Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali mewakili KASA dan Naib Presiden Kanan Komunikasi dan Endowmen MSU, Datuk Rosli Yusof mewakili MSU yang disaksikan Zaini dan Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Iklan

Zaini berkata, projek itu juga merupakan salah satu kaedah baharu yang diambil pihaknya untuk mendekati sungai.

"Sebelum ini kita guna pendekatan kejuruteraan dengan melakukan rawatan sungai serta loji kumbahan tetapi tidak nampak perubahan ketara pada kualiti air.

"Kaedah denai sungai digunakan di banyak negara dan MSU berminat bekerjasama dengan kita untuk melaksanakan projek perintis ini,"katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri menyifatkan kerjasama MoU yang dimeterai hari ini bersama JPS sebagai kolaborasi pintar antara sektor awam dan sektor swasta khususnya institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam aspek pembangunan lestari alam sekitar.

Beliau berkata, pemeteraian MoU itu turut merangkumi kerjasama menyeluruh membabitkan aspek penyelidikan, pembangunan dan inovasi, aspek hidrologi dan sumber air, program pengurusan sungai dan koridor sungai untuk kelestarian alam dan banyak lagi.

"Menerusi kolaboratif ini juga, MSU dan JPS terlibat dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti khidmat komuniti bagi menyokong inisiatif sustainable Development Goals (SDG).

"Kita juga sudah mulakan projek ini sejak tiga tahun lepas bermula dari sungai berdekatan kampus MSU dan akan diteruskan ke hulu dan ke hilir sungai," katanya.