KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan perlu mengemukakan salinan surat pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan khusus dalam perbicaraan kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Peguam utama Rosmah, Datuk Jagjit Singh berhujah, sekiranya tidak terdapat sebarang surat pelantikan, maka bekas hakim Mahkamah Persekutuan seharusnya secara terhormat perlu memilih untuk tidak melibatkan diri dalam prosiding kes itu.
"Satu-satunya objektif bagi mendapatkan surat pelantikan itu adalah untuk menentukan locus standi (hak dari segi undang-undang) TPR Kanan (Sri Ram) untuk hadir dan mengendalikan prosiding berkenaan.
"Sejak perbicaraan ini disambung, tidak ada dokumen atau surat pelantikan atau sebarang instrumen bertulis dimajukan oleh pihak pendakwaan bagi mengesahkan bahawa Sri Ram telah dilantik sebagai TPR Kanan khusus untuk kes ini.
"Dengan ketiadaan dokumen berkenaan, mahkamah perlu memutuskan bahawa Sri Ram tidak layak, dan bukan individu yang sebetulnya untuk menjadi TPR, apa lagi untuk mengendalikan kes ini,” katanya.
Jagjit berhujah sedemikian dalam permohonan Rosmah bagi mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai TPR Kanan dalam kes rasuahnya, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.
Beliau seterusnya berhujah anak guamnya berhak mengesahkan keabsahan dan kesahan pelantikan peguam cara sebagai TPR Kanan untuk mendakwa dalam kesnya, memandangkan isteri bekas perdana menteri itu berhadapan dengan dakwaan yang serius.
Peguam itu juga berpandangan bahawa ada satu perintah Mahkamah Persekutuan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap suami Rosmah, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk mengeluarkan perintah berkenaan (penampilan surat pelantikan) kepada bekas Perdana Menteri itu.
TPR Ahmad Akram Gharib dalam membantah permohonan itu berkata pemohon (Rosmah) tidak berhak untuk mendapatkan surat pelantikan, kerana undang-undang tidak memerlukan dokumen berkenaan ditampilkan, dan peguam tidak mempunyai hak untuk melihatnya.
Beliau berkata sekiranya pelantikan itu dicabar, berdasarkan kepada undang-undang kes, ia memerlukan penampilan surat pelantikan itu hanya bagi mahkamah untuk melihatnya, tanpa tanggungjawab bersama untuk memberikan surat yang sama kepada peguam.
"Tambahan pula pelantikan Sri Ram sebagai TPR Kanan tidak pernah diragui, permohonan itu dibuat di tengah perbicaraan selepas pemohon menerima sepenuhnya kehadiran dan kuasa Sri Ram sebagai TPR Kanan,” katanya.
"Sri Ram juga sepanjang perbicaraan secara terbuka melaksanakan tugasnya sebagai TPR Kanan, fakta yang memang diketahui oleh Pendakwa Raya, yang tanggungjawabnya juga adalah bagi memastikan bahawa Sri Ram tidak berada di kedudukannya itu secara tidak sah,” tambahnya.
Ahmad Akram seterusnya berkata, perintah Mahkamah Persekutuan yang dirujuk pemohon tidak berkuasa untuk menyimpulkan bahawa mahkamah ini diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah berkenaan sebagaimana yang diminta oleh pemohon.
Beliau berkata, perintah itu hanya memberi kesan kepada tugas pihak pendakwaan dalam kes 1MDB untuk mendedahkan surat pelantikan berkenaan kepada mahkamah dan peguam.
"Sekiranya tidak ada penghakiman dengan alasan lengkap, perintah itu tidak mengikat dan tidak mewajibkan mahkamah ini untuk mengeluarkan perintah yang sama sebagaimana yang dibuat Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohamed Zaini menetapkan 17 Ogos untuk membuat keputusan.
Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, berhubung projek tenaga solar.
Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017. - Bernama