Raja Muda Perlis galak asnaf buka akaun bank

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) berkenan berangkat menghadiri Program Sembelihan Korban CSR MAIPs 2020.

PERLIS - Rakyat Perlis khususnya asnaf disaran mempunyai akaun bank masing-masing bagi memudahkan penyaluran sumbangan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar asnaf yang belum memiliki atau membuka akaun bank, berbuat demikian dengan segera bagi memudahkan sumbangan dilaksanakan terutama ketika penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Baginda bertitah, penyaluran sumbangan menjadi lebih mudah melalui akaun bank sekiranya sumbangan ingin diagihkan daripada pelbagai agensi termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

"Berdasarkan pengalaman ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, penyaluran sumbangan akan lebih cepat, mudah dan selamat apabila disalurkan melalui akaun bank masing-masing memandangkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal," titah baginda.

Iklan

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri Program Sembelihan Korban CSR melalui MAIPs 2020 di pejabat MAIPs, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Iklan

Sebanyak 1,700 daging dan karkas korban diagihkan kepada 15 buah maahad tahfiz dan rumah kebajikan di seluruh negeri Perlis, penduduk Taman Desa Asnaf Batu Bertangkup serta beberapa buah masjid terpilih tahun ini.

Untuk rekod, setiap tahun MAIPs menerima sumbangan lembu korban yang dilaksanakan oleh pihak korporat dan orang perseorangan termasuk RHB Bank dan Eastern Agro Farm untuk diagihkan kepada masyarakat.

Dalam masa sama, baginda mengingatkan seluruh rakyat supaya sentiasa patuhi SOP terutama memakai pelitup muka ketika berada di lokasi awam.