Rosmah terima sumbangan politik RM6.5 juta: Saksi

Iklan
Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambung bicara kes projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi diberitahu oleh saksi ke-17, Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd bahawa Datin Seri Rosmah Mansor menerima wang sumbangan politik bernilai RM6.5 juta.

Ia bagi Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Iklan
Iklan

Saidi berkata, kesemua jumlah wang itu diberikan melalui dua pertemuan yang dilakukan di dua tempat berasingan iaitu di rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta dan di Pavilion.

Saidi memaklumkan bahawa pada 7 September 2017, dia sendiri telah mengeluarkan wang sebanyak RM1.5 juta dari akaun Maybank Islamic miliknya.

Iklan

"Wang berjumlah RM1.5 juta itu dimasukkan dalam dua beg galas berwarna hitam dan oren yang kemudian beg itu dibawa saya dan rakan kongsi bernama Rayyan ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta dengan menaiki kereta.

"Selepas sampai di rumah Datin Seri Rosmah, Shamsul (pemandu Saidi) telah meletakkan beg berisi wang itu di atas lantai tepi sofa di ruang tamu rumah itu," katanya ketika membaca pernyataan saksinya berhubung kes rasuah melibatkan Rosmah dalam projek itu.

Iklan

Menurut Saidi, selepas meletakkan beg berkenaan, dia bersama Rayyan dan Rosmah telah membuat perjumpaan bagi memberitahu bahawa dia telah membawa wang RM1.5 juta dalam beg seperti yang dijanjikan berhubung projek itu dan akan membayar selebihnya baki dari wang tersebut.

Saidi berkata, dia turut berada di dalam rumah bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor namun Rizal tidak bersama dalam perbincangan itu.

Saidi juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertemuan itu berlangsung selama lima minit sahaja.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengenai reaksi Rosmah berhubung tawaran wang itu pada pertemuan mereka di kediaman Rosmah, Saidi menjawab, Rosmah tidak menolak tetapi hanya tersenyum.

Ketika pertemuan itu juga, katanya, dia ada meminta bantuan Rosmah bagi mengadakan satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan minit sokongan untuk satu projek lain iaitu telaga air, namun Rosmah memberitahu dia tidak dapat membantu.

Terdahulu, dalam prosiding itu, Saidi turut memaklumkan bahawa dia ada mengeluarkan RM5 juta lagi daripada akaun Maybank miliknya pada 20 Disember 2016 untuk diberikan kepada Rosmah melalui Rizal.

"Saya kemudian menghantar wang RM5 juta yang diletakkan dalam dua beg bagasi yang mana setiap satu beg bagasi menempatkan RM2.5 juta dan kesemuanya berjumlah RM5 juta.

"Saya dan pemandu saya menghantar wang itu dengan menaiki kereta dan teris ke bangunan Pavilion, Kuala Lumpur.

"Apabila sampai di sana, saya diarahkan untuk meletakkan dua beg berisi wang di dalam bilik seorang lelaki dikenali sebagai Lawrence dan telah bertemu dengan Datuk Rizal Mansor di tempat yang sama.

"Saya kemudian meminta Lawrence mengeluarkan resit penerimaan wang tersebut namun sehingga kini masih belum menerima resit itu," ujarnya lagi.

Ketika ditanya Gopal adakah dia menerima resit di atas nama sumbangan politik BN atau Umno selepas kesemua wang berjumlah RM 6.5 juta diberikan kepada Rosmah, Saidi menjawab, dia tidak pernah menerima sebarang resit sehingga kini.

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan esok.

Rosmah, 68, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.