Pulau Pinang hentikan aplikasi PgCARE

Iklan
Aplikasi PgCARE akan ditamatkan bermula bulan ini dan semua rakyat Pulau Pinang wajib menggunakan MySejahtera. Gambar kecil: KON YEOW

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang akan menghentikan sistem pendaftaran bagi pengesanan kontak iaitu aplikasi Penang Contact Tracer (PgCARE) susulan kerajaan mewajibkan aplikasi MySejahtera kepada semua rakyat.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, PgCARE akan dihentikan bermula bulan depan dan semua rakyat Pulau Pinang akan menggunakan aplikasi MySejahtera sebagaimana ditetapkan kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan menghentikan aplikasi PgCARE itu menunjukkan kerajaan negeri akur terhadap arahan kerajaan Persekutuan iaitu mewajibkan penggunaan MySejahtera dalam masa terdekat.

"Saya akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang iaitu PgCARE dihentikan dan MySejahtera akan diwartakan sebagai pengesanan kontak yang wajib digunakan di negeri ini.

Iklan

"PgCARE yang dilancarkan pada 15 Mei lalu mempunyai 1.35 juta pengguna berdaftar dan 35,521 premis perniagaan. Aplikasi ini merekodkan 16.48 juta pendaftaran masuk sejak ia dilancarkan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini semalam.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri perlu mengambil langkah tersebut bagi mengelakkan penduduk Pulau Pinang yang menggunakan PgCARE berhadapan dengan masalah kelak.

Iklan

"PgCARE diterima dengan baik, jadi saya harap pihak penguat kuasa akan memberi sedikit masa untuk rakyat Pulau Pinang memuat turun aplikasi MySejahtera. Oleh itu, saya menasihatkan semua premis perniagaan dan seluruh rakyat Pulau Pinang memuat turun aplikasi MySejahtera.

"Selain itu, saya akan memohon kepada Majlis Keselamatan Negara bagi memaklumkan agensi penguatkuasaan masing-masing untuk membenarkan orang Pulau Pinang dan premis perniagaan menggunakan PgCARE sehingga 31 Ogos sebelum bertukar kepada MySejahtera," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri menanggung kos sebanyak RM36,000 untuk 'data server' manakala syarikat Madison Technologies menanggung sejumlah RM89,282.

PgCARE merupakan projek usaha sama antara kerajaan negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dengan Madison Technologies yang disokong oleh Maxis Broadband Sdn Bhd Malaysia.