BEIJING - CHINA. Kerajaan China menentang campur tangan luar dalam politik Venezuela selepas Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Amerika Selatan lain menyebelahi pemimpin pembangkang Juan Guaido dalam menyingkirkan Presiden Nicolas Maduro.
Terdahulu, pentadbiran Trump serta beberapa negara lain seperti Brazil, Colombia, Chile, Peru dan Argentina masing-masing menyatakan sokongan kepada Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden ketika protes besar-besaran anti kerajaan di Caracas, semalam.
Iklan
Iklan
Susulan itu, Maduro,56, bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan AS dan memberi masa 72 jam kepada diplomat negara itu untuk meninggalkan Venezuela.
Sehubungan itu, China yang sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mencampuri hal ehwal politik negara lain turut menentang campur tangan luar dalam urusan Venezuela.
"Kami memberi perhatian terhadap situasi semasa di Venezuela dan meminta semua pihak agar bersikap tenang dan rasional, diharapkan penyelesaian politik dapat dicapai menerusi dialog dalam kerangka perlembagaan Venezuela," kata jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying dalam satu sidang media di Beijing.
Ditanya jika China mengiktiraf Maduro, Chunying berkata Beijing menghantar wakil ke majlis pelantikan presiden berkenaan pada 10 Januari lalu.
Maduro memiliki kuasa ke atas institusi politik Venezuela dan turut mendapat sokongan tentera, namun rakyat menyalahkan beliau susulan kemerosotan ekonomi yang mengakibatkan kebanyakkan mereka hidup dalam kemiskinan dan kekurangan bekalan makanan serta ubat-ubatan. - AFP