TINDAKAN melantik beberapa individu bagi mengisi kekosongan jawatan kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) adalah tidak melanggar perlembagaan persatuan.
Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, menurut perlembagaan persatuan, jawatankuasa eksekutif boleh melantik mana-mana individu bagi mengisi kekosongan dalam persatuan dan sah sehingga Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan.
Iklan
Iklan
"Lantikan ini adalah untuk membolehkan persatuan membentuk pasukan kepimpinan bagi mengurus persatuan.
"Ini antara langkah kami untuk menentukan hala tuju persatuan setelah berdepan peletakan jawatan oleh pucuk pimpinan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KAFA semalam, Datuk Shaari Mat Husin yang sebelum ini memangku jawatan Presiden, dilantik sebagai Presiden diikuti Datuk Md Amin Riduwan Ab Aziz dan Ahmad Muzakkir Hamid masing-masing dilantik sebagai Naib Presiden dan Bendahari.
Menurut Husin, kesemua yang dilantik itu memulakan tugas mereka berkuat kuasa serta-merta dan masih terdapat masing-masing satu kekosongan jawatan Naib Presiden dan exco dalam KAFA.
KAFA yang dibelenggu masalah kewangan turut mengalami kemelut kepimpinan apabila Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah melepaskan jawatan Presiden pada 6 Julai lepas manakala Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Naib Presiden, Datuk Mohd Rowi Dollah direhatkan.