Kuching FA, Sarawak United sedia ke Lembah Kelang

Iklan
Barisan pemain Kuching FA giat berlatih sebagai persediaan menghadapi Liga-M bulan depan. - Foto FB KUCHING FA

CADANGAN supaya ketiga-tiga pasukan Kepulauan Borneo Kuching FA, Sarawak United dan Sabah ditempatkan di Lembah Kelang bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) disifatkan idea yang bernas tepat pada masanya dalam situasi Covid-19 yang melanda kepulauan itu khasnya di Kuching.

Menurut Setiausaha Kuching FA, Iswandi Ali Hassan, naib juara Liga M3 2018 yang kini beraksi pada saingan Liga Premier 2020 menyambut baik cadangan berkenaan berdasarkan situasi semasa Covid-19 khasnya di Kuching pada ketika ini.

Iklan
Iklan

"Kuching FA melihat cadangan menempatkan ketiga-tiga pasukan ini di Semenanjung bagi mengharungi baki saingan Liga-M yang bakal bersambung 26 Ogos ini sebagai sesuatu yang positif khasnya bagi pasukan yang terkesan dalam memastikan perjalanan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lalu berjalan lancar semula.

"Cumanya Kuching FA berharap cadangan ini dapat dilaksanakan segera oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana prosedur operasi standard (SOP) kerajaan Sarawak sentiasa berubah berdasarkan situasi semasa Covid-19 di negeri ini.

Iklan

"Ini kerana sekiranya kes Covid-19 mencatatkan peningkatan ketika aksi baru berlangsung satu dua perlawanan, ia tidak hanya memberi kesan kepada tuan rumah tetapi juga pasukan pelawat khasnya dari aspek motivasi dan tumpuan terhadap perlawanan,” katanya kepada Sinar Harian sambil memaklumkan pemain kelab itu masih dalam tempoh kuarantin yang berakhir pada 7 Ogos ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak sebelum ini memutuskan beberapa perkara penting dalam usaha mengekang seterusnya memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda bumi Kenyalang berkuatkuasa 1 Ogos lalu.

Iklan

Antaranya semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang masuk ke Sarawak, akan dipasang wristband sebelum dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

Selain itu, mereka juga dikehendaki mengambil sampel Covid-19 pada hari pertama atau hari kedua di klinik kesihatan berdekatan.

Pada masa sama Iswandi mengakui terdapat kebimbangan dalam kalangan segelintir pemain untuk memulakan kembali sesi latihan kontak susulan insiden yang melibatkan lima pemain kelab itu sebelum ini.

"Pemain sebenarnya masih lagi dalam keadaan fobia untuk memulakan latihan kembali dalam masa terdekat walaupun tempoh kuarantin akan berakhir tidak lama lagi susulan dengan apa yang berlaku sebelum ini

"Kita berdoa semoga hasil keputusan ujian calitan kedua pemain, jurulatih dan pegawai Kuching FA negatif, namun sekira sebaliknya berlaku kita kena fikir pilihan lain yang terbaik demi keselamatan dan kesihatan semua pihak,” katanya.

Turut senada terhadap cadangan ini adalah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Jefry Lana yang menyifatkan cadangan itu sebagai pendekatan terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 seterusnya memutuskan rantaian pandemik itu.

"Cadangan menempatkan ketiga-tiga pemegang taruh Liga-M ini di Semenanjung perlu juga dilihat dari jangka panjang dalam aspek kualiti permainan yang akan dipamerkan pasukan-pasukan ini kerana liga bersambung untuk beberapa bulan selain memastikan saingan liga kembali berjalan lancar.

"Sarawak United memang menyokong cadangan ini, namun pada masa sama FAM atau MFL perlu bagi bantuan subsidi dari segi kewangan untuk mengurangkan beban kos operasi kewangan ketiga-tiga pasukan ini,” katanya.