Bermula suka-suka, Ros Jepun jana pendapatan

Iklan
Tanaman Ros Jepun yang diusahakan Siti Salwa di hadapan kedai makan miliknya menjadi satu landskap indah di bahu jalan raya. (Siti Salwa dan suami, mengusahakan nurseri Ros Jepun bersama sama.)

JENGKA - Bermula sekadar suka-suka kini Laman A&D di Medan Selera Majlis Daerah Maran Bandar Pusat Jengka menjadi nurseri jualan bunga ros Jepun.

Pengusahanya, Siti Salwa Hassan berkata, beliau sama sekali tidak menyangka landskap ringkas yang diusahakannya di hadapan restoran miliknya menjadi perhatian umum.

Iklan
Iklan

Katanya, mungkin atas faktor sifat semula jadi bungaan itu yang berkembang mekar di awal pagi setiap hari menjadi tarikan untuk menanam tanaman itu.

Bunga Ros Jepun akan mengembang sekitar jam 9 pagi dan kuncup semula sebelah petang.

"Bunga ini mudah ditanam dan membiak. Ia cepat berbunga mengambil tempoh antara dua hingga tiga bulan untuk terus berbunga.

Iklan

"Sebelum ini saya hanya menanam untuk suka-suka sahaja tetapi ada beberapa pemilik kenderaan yang kata mereka hanya singgah untuk melihat keindahan bunga ini. Mereka kagum kerana nampak bunga-bunga kembang mekar.

"Mereka minta beli dan spontan saya beritahu boleh gunting sendiri. Harganya RM1 untuk tujuh keratan. Kebetulan dulu saya beli di Melaka RM1, lima keratan. Saya tak sangka bermula hari itu semakin hari semakin hangat di pasaran dan orang ramai singgah setiap hari," katanya.

Iklan

Siti Salwa berkata, beliau mula membeli pasu bunga dan lebih kreatif membentuk batang bunga ros itu.

Menurutnya, dekorasi dalam pasu bunga menjadi minat dan tumpuan pelanggan dalam kalangan pekerja pejabat kerana sesuai diletakkan di tepi komputer atau atas meja kerja.

Harga bunga dalam pasu dijual serendah RM10 hingga RM30 manakala bunga dalam gelas hiasan, hanya RM5.

Tanaman ini mudah dijaga dan bercambah dengan banyak.

Dari lima jenis bunga, kini Siti Salwa menanam 137 jenis ros Jepun dan turut menanam bunga kemboja adenium yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.

"Kedua-dua jenis pokok hiasan ini mudah dijaga selain berbunga lebat dan cantik jika pandai menjaganya. Mungkin sebab itu ia menjadi kegilaan wanita pada masa kini.

"Ada pelanggan saya yang bekerja sebagai guru kerap membeli di sini dan tanam di kawasan sekolah. Sekarang sekolah itu dihiasi ros Jepun dan beliau sudah mula menjana pendapatan secara dalam talian," katanya.

Laman A&D turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim yang turut membuat lawatan dan memberi sokongan kepada Siti Salwa.