Sambar saja peluang kerja depan mata

Iklan
Dalam situasi penuh mencabar di sebalik krisis pandemik Covid-19 sekarang, satu-satunya peluang yang ada adalah ‘peluang depan mata’

EMOSI Merak Jalanan seakan-akan dijentik seketika ketika menonton rakaman video ‘tragedi berdarah’ di Beirut, Lubnan sejak pagi semalam. Dilaporkan, lebih 100 mangsa maut dan ribuan lagi cedera ekoran insiden itu.

Dalam ‘sibuk-sibuk’ Merak Jalanan menonton beberapa rakaman video letupan dahsyat itu, tiba-tiba Merak Jalanan terbaca satu laporan berita tentang kematian seorang bekas juruterbang di Puchong, Selangor.

Iklan
Iklan

Kata pihak polis, mangsa maut dipercayai terjun dari unit kondominiumnya. Apa yang mengejutkan Merak Jalanan apabila polis memaklumkan tindakan mangsa itu kerana tertekan akibat hilang kerja dan punca pendapatan.

Cepat-cepat Merak Jalanan tarik nafas panjang. Bukan apa, cerita pasal hilang kerja atau tiada kerja ini cukup dekat di hati Merak Jalanan.

Iklan

Rakan-rakan Merak Jalanan juga ramai yang hilang kerja – tak kira semasa musim koronavirus (Covid-19) atau sebelum krisis Covid-19 lagi.

Mungkin ada yang bernasib baik masih ada kerja tapi gaji dan elaun dipotong. Mungkin juga ada yang lebih bernasib baik gaji dan elaun tak dipotong. Namun, bak kata seorang sahabat, nasib baik ada kerja daripada tak ada kerja langsung.

Iklan

Dalam situasi penuh mencabar di sebalik krisis pandemik Covid-19 sekarang, satu-satunya peluang yang ada adalah ‘peluang depan mata’. Mahu atau tidak, sambar saja peluang kerja depan mata.

Dalam hal ini, Merak Jalanan mahu memberi tabik hormat kepada beberapa orang rakan. Mereka pantas menyusun langkah demi kelangsungan hidup masing-masing dalam mendepani musim-musim Covid-19 ini.

Ada yang berniaga, ada yang bekerja sebagai penghantar makanan, ada juga yang menjadi pemandu e-hailing, malah ada yang terlibat dalam industri pertanian dan perladangan.

Soal taraf pendidikan tolak ke tepi dulu, paling penting sumber pendapatan tak putus. Bagi mereka, apa yang hendak dimalukan asalkan pendapatan yang diterima hasil daripada sumber halal.