Golongan bekerja lebih tertekan

Iklan
Golongan yang masih bekerja juga terdedah dengan tekanan akibat pandemik Covid-19. Gambar kecil: Abdul Halim.

SHAH ALAM - Golongan yang masih mempunyai pekerjaan pada ketika ini sebenarnya lebih tertekan dan perlu diberi perhatian berbanding mereka yang diberhentikan kerja akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, sejak tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga kini, pihaknya menerima banyak aduan pekerja yang masih berkhidmat di syarikat dan mereka yang hilang pekerjaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, golongan yang diberhentikan kerja adalah seramai 5.5 peratus, sementara kira-kira 94 peratus lagi terdiri daripada golongan yang mempunyai kerja tetapi mengalami tekanan dengan pekerjaan kerana gaji mereka tidak mampu menampung komitmen termasuk menyara keluarga.

"Ramai yang hanya memikirkan tentang nasib 5.5 peratus pekerja yang diberhentikan sedangkan mereka itu rata-ratanya mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta ada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Apabila mereka diberhentikan, sekurang-kurangnya mereka dapat bantuan atau pampasan.

Iklan

"Tetapi tidak ramai yang memikirkan tekanan serta beban dihadapi golongan 94 peratus yang masih bekerja ini, sedangkan mereka hanya dibayar mengikut hari bekerja dan bukan bergantung kepada gaji bulanan. Ada yang diberikan cuti tanpa gaji dan gaji dimiliki pula tak dapat melunaskan tanggungjawab kepada keluarga serta tanggungan lain,” katanya.

Abdul Halim berkata, ramai pekerja mengalami masalah itu tetapi tidak dikongsikan dan akhirnya ia membuat mereka tertekan.

Iklan

Lebih buruk, katanya, ada yang cenderung mengambil jalan singkat melakukan apa sahaja termasuk membunuh diri akibat tertekan.

"Jadi MTUC lebih bimbang terhadap nasib pekerja-pekerja yang masih berkhidmat ini kerana mereka rata-ratanya tidak dapat menyelesaikan masalah tanggungan mereka.

"Mereka mempunyai pekerjaan atas nama saja tetapi terbeban atau terhimpit dengan pelbagai masalah,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Halim berharap kerajaan dapat memberi perhatian serta membantu golongan tersebut dengan mewujudkan talian prihatin rakyat agar mereka dapat membuat aduan kesukaran atau masalah dihadapi.

Melalui pengumpulan data tersebut, katanya, kerajaan dapat melihat bantuan atau kaedah bersesuaian untuk membantu mereka."Kerajaan perlu lihat secara keseluruhan khasnya kemampuan masyarakat bekerja untuk meneruskan kehidupan jika masalah ekonomi berterusan selepas tahun 2020,” katanya.