KUALA LUMPUR - Sebanyak 12,060 naskhah al-Quran wakaf diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melengkapkan kemudahan Quran Corner di lima buah hospital ATM seluruh Malaysia yang dilancarkan semalam.
Al-Quran Karya Bestari yang disumbangkan orang ramai melalui Wakaf Ummah itu adalah inisiatif yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Sumbangan naskhah al-Quran tersebut disampaikan oleh Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub kepada Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Menurut Affendi, Quran Corner yang diwujudkan di hospital ATM merupakan ruang yang akan diletakkan al-Quran bagi tujuan 'rehat dan rawat'.
Katanya, inisiatif itu sebagai usaha meningkatkan aspek kerohanian, sekali gus menambah baik kualiti prestasi di tempat kerja.
"Quran Corner ini juga bertujuan mendekatkan warga ATM dengan al-Quran sebagai usaha memperkasakan kekuatan mental, fizikal dan spiritual perwira serta perajurit negara.
"Ia juga bagi menyuburkan semangat dan rasa kecintaan kepada kitab suci al-Quran sebagai sumber kekuatan kerohanian atau 'spiritual combat power' bagi warga ATM.
"Malah, ia turut membantu menyemarakkan rasa cinta dan tanggungjawab untuk menerokai ilmu al-Quran dalam peningkatan aspek kehidupan, khususnya dalam pertahanan dan keselamatan," katanya pada majlis penyerahan al-Quran wakaf dan pelancaran al-Quran Corner, Hospital Angkatan Tentera Malaysia 2020 di Hospital ATM Tuanku Mizan di sini semalam.
Program tersebut merupakan usahasama antara WUIF dan ATM melalui Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) serta Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM.