KUANTAN - Sebuah restoran terkenal di Indera Mahkota, di sini diarahkan tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa semalam.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, penutupan restoran itu dibuat di bawah Seksyen 46 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Menurutnya, pemeriksaan penguat kuasa MPK mendapati restoran itu gagal memastikan pelanggan mematuhi SOP dari segi penjarakkan fizikal dan meletakkan kerusi meja di atas jalan awam.
"Jadi, pemilik premis terbabit telah dikenakan kompaun RM500 dan sitaan peralatan seperti kerusi meja yang diletakkan di atas jalan telah dilakukan segera," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Semalam tular di laman sosial Facebook mengenai tindakan penguatkuasaan MPK menyita kerusi meja di restoran terbabit.
Dalam pada itu, Norkamawati berkata, sehingga semalam, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 1,506 kompaun atas pelbagai kesalahan di restoran sekitar daerah ini.
Jelasnya, kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 12,865 premis perniagaan dan kebanyakan pemilik premis memberi alasan pelanggan ramai punca mereka melanggar SOP.
"Pihak MPK tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik premis perniagaan yang ingkar SOP.
"Usaha ini dilakukan bagi mengekang penularan wabak koronovirus (Covid-19),'' katanya.