RANTAU PANJANG - Taktik dua tekong darat dan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) memakai pelitup muka dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki untuk mengaburi aktiviti penyeludupan gagal mengaburi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu.
Kesemua mereka ditahan selepas anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu berjaya mengejar kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dari Bukit Tandak, Rantau Panjang.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, kegiatan penyeludupan itu disedari ketika pihaknya melakukan rondaan rutin pada jam 6 pagi.
"Semasa rondaan dilakukan, anggota PGA telah melihat sebuah pacuan empat roda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan menghala ke Tanah Merah.
"Anggota PGA yang mengekori kenderaan itu telah mengarahkan pemandunya berhenti. Namun pemandu itu terus memecut laju sehingga kenderaan tersebut berhenti di bahu jalan di Kampung Tok Bilal, Panyit Machang," katanya.
Menurutnya, dua tekong lelaki warga tempatan itu cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA, namun mereka berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.
"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan empat wanita dan dua lelaki warga Myanmar disyaki PATI.
"Kesemua mereka yang terlibat termasuk kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang untuk siasatan lanjut," katanya.
Nor Azizan berkata, saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas dua tekong darat itu mendapati mereka positif methamphetamine.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Sek 26(J) Atipsom 2012, Sek 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.