SEJAK kebelakangan ini, bagai menjadi suatu trend apabila pihak tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah dengan menggodam akaun media sosial selebriti.
Tidak hanya selebriti luar negara yang menjadi mangsa, ada juga selebriti tempatan yang turut berdepan masalah sama.
Dan terbaharu, akaun Instagram pelakon cantik, Ramona Zam Zam menjadi sasaran penggodam.
Kini akaun itu telah menjadi milik seorang lelaki yang dipercayai berasal dari Turki.
Menurut ibu kepada seorang cahaya mata ini, dia menyedari akaunnya digodam pada malam Isnin lalu.
"Selepas memperlahankan karier lakonan setelah mengandung dan bersalinkan Ivanna, saya memang fokus pada sosial media.
"Pengikut Instagram tidak menjadi kebimbangan saya. Tapi apa yang saya kesalkan adalah segala hasil kerja saya di situ.
"Bagi saya Instagram saya adalah portfolio saya, 80% perkara dalam Instagram itu adalah hasil kerja saya dan selebihnya adalah memori.
"Dari situ saya banyak terlibat dengan product launching, event dan paid review. Malah dari Instagram juga saya dapat kontrak untuk produk dan pakaian seperti baju baby.
"Bayangkan untuk kontrak baju baby, baru berjalan tiga bulan, padahal saya terikat untuk setahun," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya apabila difikirkan semula, dia berasa begitu kecewa, namun sedaya upaya menenangkan diri dan berharap dia akan mendapat akaunnya kembali, biarpun harapan itu tipis.
"Ada orang jadikan Instagram sebagai ruang personal life. Tapi saya tidak.
"Bagi saya kehilangan akaun ini ibarat saya dah siapkan tesis dan letak di dalam hard disk, tetapi Kemudian ada orang curi hard disk itu dan saya tidak ada salinan lain.
"Walaupun rasa macam ibarat putus cinta, frust, tapi saya cuba untuk menenangkan diri," akhirinya.
Ramona kini sudah membuka akaun baru di bawah nama ramona_zamzam2019.