KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM55.7 juta bagi membantu 190,000 orang kurang upaya (OKU) termasuk yang kehilangan pendapatan berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, jumlah itu merangkumi bantuan bakul makanan dan insentif khusus berbentuk bantuan khas menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Menurutnya, menerusi program itu, sebanyak RM300 diberikan kepada penerima bantuan di bawah skim Bantuan Kewangan Bulanan OKU iaitu Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT).
"Sehingga 5 Ogos 2020, bagi fasa satu, seramai 185,770 orang atau 97 peratus menerima bantuan khas ini dengan jumlah peruntukan yang disalurkan sebanyak RM55.7 juta.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang memproses bagi pembayaran fasa kedua kepada seramai 4,230 penerima baru bagi bulan Jun, Julai dan Ogos 2020 dengan peruntukan sebanyak RM1.3 juta.
"Bayaran akan diterima selewat-lewatnya pada 31 Ogos ini," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang bertanyakan sama ada kementerian itu menyalurkan bantuan kepada golongan OKU yang menyertai perkhidmatan refleksologi dan urutan yang kehilangan sumber pendapatan akibat Covid-19.
Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, secara asasnya kementeriannya tidak menyediakan bantuan khusus kepada golongan OKU penglihatan yang bekerja.
Bagaimanapun katanya, bantuan sebanyak RM400 sebulan menerusi EPC untuk mereka yang terlibat dalam perkhidmatan refleksologi dan urutan serta mempunyai pendapatan di bawah RM1,200 adalah layak dipertimbangkan.